23/10/2020
SOALAN : Assalamualaikum. Saya baru sahaja bercerai pada bulan November 2019 tahun lalu setelah hampir 10 tahun berkahwin. Adakah saya layak untuk mendapat Mutaah?
JAWAPAN : Waalaikumusalam. Terlebih dahulu haruslah kita faham apakah maksud Mutaah? Mutaah adalah bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan tanpa sebab yang patut. Kewajipan untuk membayar mutaah kepada bekas isteri telah disyariatkan melalui Firman Allah di Surah Al-Baqarah ayat 241 :
"Dan isteri-isteri yang telah diceraikan, berhak mendapat mutaah (pemberian saguhati) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang yang bertaqwa".
Jadi, isteri yang telah diceraikan berhak mendapat mutaah sepertimana yang telah disyariatkan. Cuma persoalan yang timbul adalah berapakah Jumlah yang patut diterima? menurut undang-undang tidak ada satu jumlah khusus yang ditetapkan bagi pemberian mutaah ini. Walau bagaimanapun, mahkamah akan membuat pertimbangan mengenai kadar mutaah melihat kepada beberapa faktor, antaranya adalah :-
1. kemampuan suami.
2. tempoh perkahwinan.
3. taraf hidup pasangan semasa perkahwinan.
4. status pendidikan dan pekerjaan isteri.
5. isteri tidak pernah diisytiharkan nusyuz.
6. menjaga kebajikan rumahtangga dengan baik.
7. usia pihak-pihak.
8. lain-lain bentuk pengorbanan.
Maka, bekas isteri hendaklah meyakinkan mahkamah mengapa isteri tersebut layak menerima sejumlah kadar yang diminta dan yang dirasakan patut dan munasabah berdasarkan faktor-faktor yang disebut diatas.
NOTA : Pihak isteri haruslah berfikir secara munasabah sebelum menentukan berapakah kadar mutaah yang ingin diminta agar tuntutan tersebut releven dengan pengorbanan yang diberikan semasa tempoh perkahwinan.
http://www.wasap.my/60173886632