23/02/2021
AYAH TIDAK MEMBERI NAFKAH ANAK, IBU P**A MENGHALANG ANAK BERJUMPA AYAH. APAKAH SOLUSINYA?
Kerap kali mendengar permasalahan bilamana seorang ayah yang tidak menunaikan tanggungjawab nafkah kepada anak-anak ataupun memberi nafkah dengan kadar yang sedikit dan sangat tidak munasabah, bekas isteri atau ibu kepada anak-anak tersebut p**a ada kalanya menafikan hak atau menghalang seorang ayah untuk berjumpa dengan anak-anaknya. Malah ada yang lebih menyedihkan terdapat bapa diluar sana yang masih menjaga amanah dengan sempurna kewajipan nafkah anak, tetapi bekas isteri masih menafikan hak anak-anak untuk bersua muka dengan ayahnya. kebiasaan ini terjadi bila mana wujud dendam daripada pihak isteri.
Sebagai seorang ayah yang bertanggungjawab, sudah menjadi satu kewajipan agama dalam melaksanakan perintah Allah untuk menyediakan nafkah kepada anak-anak sebagaimana hadis Rasulullah SAW bermaksud
"ambillah daripadanya apa-apa yang menjadi kebiasaan yang mencukupi
bagimu dan anak-anakmu".
Meninggalkan pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak dianggap sebagai satu dosa berdalilkan sabda Nabi S.A.W yang berikut. Abdullah bin ‘Amr bin al-Ash berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُضَيِّعَ مَنْ يَقُوتُ
Maksudnya: Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya.
tindakan seorang ayah yang tidak memberikan nafkah kepada anak kandungnya apatah lagi si anak terpaksa mengikat perut tetapi si ayah masih tidur di katil yang empuk, perut yang tidak sempat lapar, merupakan satu tindakan yang sangat zalim dan dikeji dalam Islam seperti firman Allah SWT dalam Surah As-Syura ayat 42 yang berbunyi:
إِنَّمَا السَّبِيلُ عَلَى الَّذِينَ يَظْلِمُونَ النَّاسَ وَيَبْغُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ أُولئِكَ لَهُمْ عَذابٌ أَلِيمٌ
Maksudnya: Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak berperi sakitnya.
Walaupun begitu, sekiranya seorang bapa gagal atau culas menyediakan nafkah anak terutama bagi pasangan yang bercerai, si ibu tidak berhak untuk menafikan hubungan silaturahim antara seorang ayah dan seorang anak. Perbuatan memutuskan silaturahim ini jelas diancam oleh Allah dan Rasul sebagaimana hadis diriwayatkan oleh daripada daripada hadith Jubair bin Muth^im RadhiAllahu Anhu bahawa Rasulullah ﷺ bersabda :
لاَ يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَاطِعٌ
Maksudnya: “ Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim”. Maksud “tidak masuk syurga” di sini adalah tidak masuk bersama golongan terawal (bukan ertinya dia tidak akan masuk syurga selama-lamanya padahal dia memiliki Iman).
Tidak memberikan nafkah anak adalah satu dosa besar, memutuskan silaturahim anak juga adalah satu dosa besar.
Ingatlah, perbuatan zalim dan berdosa besar tidak memberikan nafkah anak tidak akan terhapus dengan memutuskan hubungan silaturahim antara anak dan juga ayah.
Oleh itu pada isteri atau ibu diluar sana yang mempunyai bekas suami yang tidak bertanggungjawab setelah pelbagai usaha untuk menuntut nafkah anak tetap gagal , maka serahkan urusan tersebut kepada Allah. Jangan jadikan alasan tersebut untuk isteri atau ibu bagi membalas perbuatan terkutuk tersebut.
Gunakan saluran undang-undang untuk membela nasib anak adalah jalan yang tepat dan lebih baik. Wallahualam