11/09/2024
Kes terbaru mengenai Abang Bas dan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang viral baru baru ini. Umum diketahui, akta ini diperkenalkan untuk melindungi kanak-kanak di Malaysia daripada pelbagai bentuk jenayah seksual. Ia merangkumi kesalahan seperti penderaan seksual, eksploitasi melalui internet, dan penglibatan kanak-kanak dalam bahan lucah.
Akta ini memperuntukan hukuman yang berat [seperti penjara, denda, dan sebatan ke atas pesalah]. Akta ini memberi perlindungan kepada mangsa kanak-kanak dengan melindungi identiti mereka dan menyediakan sokongan seperti kaunseling. Antara ciri penting Akta ini adalah dengan penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak, yang tidak lain dan bukan untuk bertujuan mempercepatkan perbicaraan kes berkaitan dan melindungi kanak-kanak daripada trauma serta untuk keadilan semua pihak terlibat. Semua pihak terlibat ini perlu di lihat dalam konteks yang lebih luas, baik keluarga mangsa, kanak-kanak mahupun yang dituduh serta saksi-saksi yang terlibat.
Mudahnya, apa apa yang dilakukan oleh seseorang, tidak kira lelaki atau wanita,tidak kira umur, jika perbuatan atau apa-apa tindakan terhadap mana-mana kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang mana bertujuan untuk ‘KEPUASAN SEKSUAL’ kepada si pelaku, maka ia boleh disabitkan di bawah Akta ini jika di dapati bersalah.
Rasionalnya, apa jua bentuk sentuhan dan hubungan yang melibatkan seksual fizikal ataupun secara seksual oral tidak seharusnya dibiasakan dan dinormalisasikan. Mengapa? Kita tidak mahu budaya seperti ini menjadi sebati di dalam masyarakat kita kerana adalah tanggungjawab kita memastikan anak anak kita di dalam keadaan selamat walau dimana ianya berada.
Perlu diambil perhatian, bahawa Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 tidak hanya melibatkan perbuatan semata-mata, malah ianya meluas kepada komunikasi, galakan dan pelbagai lagi yang mungkin orang awam ada atau pernah lakukan sebelum ini atau sedang melakukannya tanpa disedari kesan dan impaknya kepada kanak-kanak ini. Yang mana perbuatan ini tergolong sebagai satu jenayah di bawah Akta ini.
Hentikan perbuatan, budaya dan apa jua kebiasaan yang tidak mendatangkan manfaat dan kebaikkan.
September2024.
Messrs Lydiana Law Chambers.