21/06/2023
PANDUAN MEMOHON PEMBIAYAAN PERUMAHAN KERAJAAN (LPPSA)
Assalamualaikum & Salam Sejahtera.
Untuk pengetahuan semua, permohonan pembiayaan perumahan melalui pinjaman LPPSA sedikit berbeza daripada pinjaman bank. Jika pinjaman bank, anda serahkan sepenuhnya pd agent/banker untuk menguruskan permohonan anda, cuma anda perlu memberikan dokumen penting seperti salinan IC, salinan slip gaji 3 bulan dan sebagainya kepada banker, selepas beberapa hari (3-7 hari), keputusan permohonan anda boleh diketahui sama ada lulus atau tidak. Tetapi sedikit berbeza dengan permohonan LPPSA, anda perlu mendaftar terlebih dahulu melalui laman web rasmi LPPSA. Setelah pengesahan dilakukan melalui email, anda boleh terus ke borang permohonan online dan isikan maklumat yang diperlukan.
Seperti biasa, dalam borang online, anda diminta untuk mengisi maklumat peribadi, maklumat pekerjaan, maklumat hartanah, takaful, maklumat peguam panel dan sebagainya. Semasa mengisi, keputusan permohonan anda telah 50% diketahui sama ada lulus atau tidak. Sekiranya maklumat pekerjaan yg diisikan tepat, peratus kelulusan permohonan akan lebih tinggi kerana dalam borang online sendiri, anda akan tahu maksimum kelayakan yang boleh anda mohon dengan LPPSA.
Seterusnya, sila dapatkan sebut harga yuran guaman (quotation) dari peguam panel LPPSA yang anda lantik & masukkan amaun tersebut dalam borang permohonan online anda. Sekiranya anda tidak memasukkan apa2 amaun dlm ruangan yuran guaman loan, anda dianggap memilih untuk membuat bayaran yuran guaman loan dokumen sendiri pada peguam tersebut.
Selepas siap isi & borang online telah dihantar, anda dikehendaki mencetak borang yang telah diisi bersama dengan senarai dokumen yang perlu anda kemukakan kepada kaunter LPPSA. Perlu diingat dalam masa 60 hari dari tarikh borang online, anda diminta menghantar kepada LPPSA borang anda yang telah lengkap ditandatangani oleh ketua jabatan. Antara dokumen lain yang perlu dihantar bersama borang adalah 2 salinan IC (disahkan majikan), salinan slip gaji 3 bulan terkini (disahkan majikan), borang 1 (disahkan majikan), surat iringan ketua jabatan, deraf perjanjian jual beli/tawaran untuk membeli (disediakan oleh peguam SPA), salinan hakmilik/carian & sebut harga yuran guaman loan dokumen (disediakan oleh peguam panel yg dipilih).
Antara dokumen lain yang diperlukan adalah penyata baki hutang penjual untuk 6 bulan ke hadapan (sekiranya penjual masih ada hutang dengan bank), salinan sijil nikah/sijil lahir anak (sekiranya permohonan bersama antara suami-isteri/ibubapa-anak) dan sebagainya.
Sebelum dokumen dihantar ke LPPSA, salinan asal borang 1 perlu dihantar ke JPPH kawasan hartanah terlebih dahulu. Anda boleh ke laman web rasmi JPPH & klik alamat cawangan JPPH. Masukkan maklumat hartanah & alamat cawangan JPPH yang berkenaan akan keluar. Selain borang 1, anda juga dikehendaki menghantar salinan borang permohonan online, salinan surat iringan ketua jabatan, deraf perjanjian jual beli, salinan hakmilik & kadang-kadang ada JPPH yang meminta anda untuk menyediakan salinan asal surat iringan ketua jabatan yang dialamatkan ke JPPH (contoh seperti JPPH KL & Shah Alam). Selalunya, dalam masa 10 hari bekerja, JPPH akan terus menghantar laporan penilaian hartanah ke LPPSA.
Kemudian, sila hantar borang anda ke LPPSA. Dalam masa 21 hari bekerja pihak LPPSA akan memproses permohonan anda. Jika anda di bawah perkhidmatan ATM, anda perlu menghantar borang permohonan anda ke Sel Perumahan Mindef dan pihak Mindef yang akan menghantar permohonan anda ke LPPSA. Jika anda di bawah perkhidmatan PDRM, anda perlu menghantar borang anda ke IPK & IPK yang akan menghantar permohonan anda ke LPPSA.
Dan sekiranya tiada kuiri dari LPPSA, dalam masa 21 hari bekerja permohonan anda akan lulus.
Zuriyanti Sanusi,
Peguambela & Peguamcara
☎️ 0341420418
📱 www.wasap.my/60189858055