20/10/2026
Apa sebenarnya yang terjadi dengan Zetrix AI Berhad? Rakyat perlukan jawapan.
𝗞𝗘𝗡𝗬𝗔𝗧𝗔𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗗𝗜𝗔
20 Oktober 2026
𝗞𝗘𝗧𝗘𝗥𝗗𝗘𝗗𝗔𝗛𝗔𝗡 𝗗𝗔𝗡𝗔 𝗔𝗪𝗔𝗠 𝗗𝗔𝗡 𝗜𝗠𝗣𝗟𝗜𝗞𝗔𝗦𝗜 𝗞𝗘𝗝𝗔𝗧𝗨𝗛𝗔𝗡 𝗛𝗔𝗥𝗚𝗔 𝗦𝗔𝗛𝗔𝗠 𝗭𝗘𝗧𝗥𝗜𝗫
BERSAMA ingin menarik perhatian umum kepada krisis kewangan yang sedang melanda Zetrix AI Berhad (dahulunya MyEG Services Berhad) sedangkan ia sebuah syarikat berkepentingan awam yang mempunyai kesan besar kepada keselamatan negara.
Setakat ini, perbincangan mengenai Zetrix AI Berhad hanya berlegar dikalangan pelabur di Bursa Kuala Lumpur akibat kejatuhan harga sahamnya secara mendadak.
Tidak ada lagi ahli parlimen atau parti politik yang memberi tumpuan mengenai implikasi kejatuhan saham Zetrix kepada kepentingan awam.
Mengikut pelaporan kewangan Zetrix sendiri, harga penutup sahamnya pada 1 April 2026 adalah 75.5 sen sesaham. Pada 19 Oktober 2026, harga sahamnya telah jatuh kepada 5 sen sesaham, iaitu penyusutan mendadak sebanyak 93.4% dalam tempoh enam bulan (terutamanya kejatuhan yang bermula pada 28 Ogos 2026).
Berdasarkan maklumat awam yang diperolehi dari laporan-laporan kewangan yang boleh diakses orang ramai, berikut ialah jumlah pegangan saham Zetrix oleh dana-dana awam:
𝗞𝗪𝗦𝗣
Jumlah saham Zetrix: 67,674,000
Maklumat setakat: 1 April 2026
𝗞𝗪𝗔𝗣
Jumlah saham Zetrix: 390,090,000
Maklumat setakat: 2 Oktober 2025
𝗨𝗿𝘂𝘀𝗵𝗮𝗿𝘁𝗮 𝗝𝗮𝗺𝗮𝗮𝗵 𝗦𝗱𝗻 𝗕𝗵𝗱 (𝗨𝗝𝗦𝗕)
Jumlah saham Zetrix: 211,507,500
Maklumat setakat: 1 April 2026
Maklumat terkini pegangan dana-dana awam di dalam Zetrix tidak diketahui kerana ia tidak dilaporkan sehinggalah Laporan Tahun Zetrix bagi tahun kewangan 2026 dimuktamadkan.
Walau bagaimana pun, berdasarkan maklumat pegangan setakat Oktober 2025 dan April 2026, jumlah saham yang dipegang oleh ketiga-tiga dana awam ini adalah begitu besar.
Sekiranya ketiga-tiga dana awam ini masih memegang saham Zetrix ketika kejatuhan mendadak berlaku pada 28 Ogos 2026, besar kemungkinan mereka terlepas peluang untuk menghadkan kerugian dan terpaksa terus memegang hingga sekarang.
Jika ini berlaku, dana-dana awam KWSP, KWAP dan UJSB berdepan dengan potensi kerugian sebanyak RM472 juta (pada kerugian 70.5 sen setiap saham).
Krisis kewangan yang melibatkan Zetrix ini melangkaui soal kerugian dana awam semata-mata.
Sejak sebulan yang lalu, selain dari kegagalan membayar kutipan hasil kerajaan kepada JPJ sebanyak RM314 juta, Zetrix terus berdepan dengan masalah aliran tunai. Terbaru ialah pelanggaran syarat sukuk RM2 bilion terbitan Zetrix, yang sehingga kini masih belum diselesaikan.
Umum mengetahui bahawa HeiTech Padu Berhad telah dianugerahkan kontrak bernilai RM1.05 bilion untuk membangunkan sebuah sistem imigresen bersepadu negara (NIISe).
Semasa HeiTech Padu memenangi kontrak ini dalam tahun 2024, dua pemegang saham terbesarnya ialah Rosetta Partners Sdn Bhd (yang dikuasai bersama oleh DYMM Sultan Kelantan dan Farhash Wafa Salvador) dan Zetrix AI Berhad (sebelum itu dikenali sebagai MyEG Services Berhad).
HeiTech Padu juga mengumumkan bahawa Zetrix adalah rakan teknologi yang akan bersama-sama membangunkan teknologi yang digunakan NIISe.
Walau bagaimana pun, ekoran krisis kewangan yang melanda Zetrix, pada 2 September 2026 Zetrix telah menjual keseluruhan 16.9% pegangan di dalam HeiTech Padu, yang menimbulkan persoalan mengenai peranan Zetrix sebagai penyedia teknologi kepada projek NIISe ini.
Berdasarkan perkembangan-perkembangan ini, saya berpandangan pentadbiran Madani, terutamanya Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan, tidak lagi berdiam diri dan berharap isu ini tidak disedari rakyat.
Sebagai jaguh tata kelola negara, rakyat meletakkan harapan yang tinggi kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menjelaskan perkara-perkara berikut:
1. Berapa jumlah saham yang dipegang oleh GLIC (KWSP, KWAP dan UJSB) dan GLC (Maybank, CIMB dan lain-lain) pada 1 April 2026, untuk menunjukkan keterdedahan dana awam kepada krisis kewangan yang dihadapi Zetrix?
2. Berapa jumlah saham yang masih dipegang pada 20 Oktober 2026 dan berapa jumlah kerugian dana awam melalui GLIC dan GLC akibat krisis Zetrix ini? Berapa kerugian atas kertas (bagi saham-saham yang masih dipegang) dan berapa kerugian yang telah ditanggung (bagi saham-saham yang telah dijual antara 1 April 2026 hingga 20 Oktober 2026, berbanding harga pembelian asal)?
3. Syarikat mana yang menjadi pembekal teknologi kepada projek NIISe apabila Zetrix telah melupuskan pegangan di dalam HeiTech Padu dan apa kesannya kepada pelaksanaan projek bertaraf keselamatan nasional itu?
Kejatuhan Zetrix membuka pekung kroni kapitalisme yang masih segar di bawah pentadbiran Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Saya akan memberi tumpuan kepada perkara ini sehinggalah rakyat mendapat jawapan yang memuaskan dan mereka yang terlibat disiasat; seperti mana saya memberi tumpuan kepada skandal-skandal kewangan dana awam yang terdahulu di bawah pentadbiran UMNO (1MDB, Tabung Haji, FELDA, MARA, NFC).
Bagi pihak BERSAMA
𝗥𝗔𝗙𝗜𝗭𝗜 𝗥𝗔𝗠𝗟𝗜
Kenyataan media penuh boleh diakses di laman web BERSAMA:
https://bersama.org/ms/kenyataan-media/01a15729-de83-7e3c-b1f1-47a54a79dafd