01/08/2026
TALAK KETIKA MARAH, PAKSAAN DAN UGUTAN: SABIT ATAU TIDAK?
Lazimnya seorang suami melafazkan talak dalam situasi dia berada dalam keadaan marah dan emosi tidak terkawal. Jarang berlaku suami melafazkan talak dalam keadaan dia gembira, teruja tanpa sebab munasabah.
Maka sebab itu bilamana suami memberikan alasan ucapan talak itu disebut dalam keadaan marah, mahkamah tetap mensabitkan bahawa talak tetap jatuh. Kerana lafaz dalam keadaan marah bukan sebagai syarat menjadikan lafaz itu tidak sabit. Ini berdasarkan pandangan Imam Nawawi (Mazhab Syafie) di dalam kitab Al-Muhazzab:
"...dan jatuh talaq jika dilafazkan dalam ketika rela ( tidak dipaksa ),
ketika marah, dan ketika bersungguh-sungguh dan jatuh juga ketika bermain-main dengan talaq berdasarkan hadis riwayat Abu Hurairah bahawasanya Nabi S.A.W bersabda : 3 perkara yang dibuat sungguh jadi sungguh dan dibuat main-main jadi sungguh, iaitu NIKAH, TALAK dan RUJUK".
Selain itu, rujukan dalam Kitab Imam Al-Dimyati yang bertajuk Hasyiah I’anat al-Talibin turut menghuraikan bahawa:
“Mereka (Para Fuqaha Mazhab Shafie) bersepakat atas jatuhnya
talaq orang yang dalam keadaan marah sekalipun ia mendakwa hilang kesedarannya dengan sebab marahnya itu”.
Sudah menjadi adat dan kelaziman, lafaz talak akan keluar dari mulut suami bila berlaku pergaduhan, tekanan dengan disusuli dengan perasaan marah. Maka oleh sebab itu dalam situasi ucapan talak dalam keadaan marah talak tetap akan sabit.
Namun bagaimana dalam situasi si suami dipaksa melafazkan talak walhal dia enggan?Adakah sabit talak tersebut? Dalam situasi dipaksa, perlu diteliti keadaan semasa suami melafazkan talak tersebut. Ini kerana peruntukan undang-undang meletakkan bahawa lafaz talak TIDAK SAH dalam paksaan sekiranya:
i)Suami diugut. Ugutan tersebut adalah berbentuk ugutan yang boleh menyebabkan mudharat sama ada kepada suami atau isteri seperti diugut untuk dibunuh, dicederakan atau seumpamanya. Contoh isteri pegang pisau sambil ugut suami:
ii)Pihak yang mengugut berupaya @ mampu melakukan ugutan tersebut;
iii)Ugutan tersebut akan dilaksanakan serta merta;
iv)Kesan jika ingkar akan meninggalkan kemudharatan atau bahaya sama ada pada isteri atau suami.
v)Bentuk paksaan itu tidak dibenarkan dalam syarak.
Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah S.A.W:
“Allah Taala memaafkan hambanya yang tersilap, terlupa dan apa yang dipaksa ke atasnya”
Sebagai contoh, pada tahun 2016 firma M.R.R.A pernah mengendalikan suatu kes berkenaan pengesahan lafaz talak 3 yang dibuat oleh suami terhadap isteri.
Fakta kes isteri menghidap suatu penyakit kronik yang berupaya mengawal kewarasan akal fikirannya dan isteri mempunyai rekod perubatan di Hospital berkenaan penyakit tersebut. Pergaduhan yang berlaku hanyalah disebabkan hal remeh iaitu suami lambat pulang ke rumah. Isteri terlalu marah dan mengugut si suami melafazkan talak 3 dalam keadaan isteri sedang memegang pisau pemotong daging.
Akibat terlalu marah & dicampur perasaan takut akan kemudharatan yang bakal terjadi, si suami terus melafazkan talak 3 sekaligus dan selepas ucapan tersebut barulah isteri terdiam dan menyesal dengan perbuatannya mengugut si suami.
Alhamdulillah kes berpihak kepada pasangan tersebut di mana Yang Arif mensabitkan talak 3 tersebut jatuh kepada talak 1 selepas meneliti bukti-bukti, rujukan undang-undang dan kitab-kitab serta hujahan pihak-pihak.
Mengambil pendekatan kita sebagai rakyat Malaysia di mana sebahagian besar adalah bermazhab Syafie, maka pendapat mazhab Syafie adalah diutamakan dalam merujuk sesuatu permasalahan berbanding merujuk pendapat mazhab yang lain. Meskipun dalam pendapat mazhab yang lain, talak dalam keadaan marah yang menghilangkan kewarasan akal tidak mensabitkan talak.
Selain dari ugutan dan paksaan, jika lafaz talak diucap dalam keadaan suami mabuk sama ada disebabkan oleh pengaruh ubat, alkohol, atau tidak sedarkan diri juga tidak menyebabkan talak itu sabit. Kerana ia berdasarkan dalil;
"Diangkat pena pada tiga golongan iaitu orang yang tidur sehingga terjaga , anak kecil sehingga dia besar dan orang gila sehingga dia berakal atau sedar."
Maka oleh yang demikian, meskipun hukum asal talak itu sabit bila suami mengucapkan dengan lafaz soreh walaupun tanpa niat, namun dalam situasi ugutan,paksaan, tidak sedarkan diri kerana pengaruh ubat atau alkohol, mengigau dalam mimpi atau seumpamanya tidak mensabitkan lafaz talak tersebut.
Namun, BEBAN PEMBUKTIAN adalah kepada suami bagi menyakinkan kepada Mahkamah bahawa dia tidak berniat mentalakkan isterinya.
Wallahuallam.
P/S: Jangan tanya penulis berkenaan sabit atau tidak talak kalian ye. Kerana ia adalah bidangkuasa Mahkamah....