30/09/2026
Saya tak nak anak saya takut nak balik rumah, Encik."
Petang itu, Kak Maisarah (bukan nama sebenar) duduk di hadapan saya dengan tangan yang tak berhenti menggenggam tisu. Umurnya awal 40-an. Matanya sembap, tapi suaranya cuba dikawal.
"Saya bukan nak gaduh dengan dia," katanya perlahan. "Saya cuma nak anak saya selamat."
Dia bercerita. Sejak bercerai, anak lelakinya yang berumur 8 tahun tinggal bersamanya. Bekas suami dibenarkan berjumpa anak pada hujung minggu tertentu. Selama ini semuanya berjalan lancar, sehinggalah satu hujung minggu yang lalu.
Bila anak itu dihantar pulang, dia lebih diam daripada biasa. Tak banyak cakap, tak ceria seperti selalu. Malam itu, ketika Kak Maisarah membantu dia mandi, dia terlihat kesan lebam di lengan dan belakang badan anaknya.
"Saya tanya, 'Sayang, kenapa ni?' Dia tak jawab. Dia cuma pandang lantai."
Hati seorang ibu tahu bila ada yang tak kena. Kak Maisarah tak marah-marah dan tak menuduh sesiapa. Dia peluk anaknya lama-lama dan berjanji tak akan memaksa dia bercerita.
Beberapa hari kemudian, keadaan bertambah rumit. Bekas suami menghantar mesej: dia akan ambil anak itu terus dari sekolah pada hari Jumaat, tanpa perlu bertanya sesiapa.
"Saya takut, Encik. Kalau dia ambil dari sekolah, saya sendiri tak tahu anak saya ke mana. Dan kalau lebam tu berulang lagi?"
" Saya dah cuba bagitau polis, mereka cakap, itu ayah kandung, berhak bawa anak. Dan masalah keluarga mereka tak masuk campur. "
Selepas dia tenang, saya bertanya beberapa perkara. Ada tak gambar kesan lebam itu? Ada tak dia bawa anak berjumpa doktor? Ada tak mesej daripada bekas suami yang boleh disimpan sebagai bukti?
Kak Maisarah mengangguk. Dia sempat mengambil gambar, dan dia sudah membawa anaknya berjumpa doktor. Laporan perubatan itu dia bawa bersama, dalam sampul yang sudah renyuk kerana terlalu kuat digenggam sepanjang perjalanan ke pejabat saya.
"Kak Maisarah," kata saya, "apa yang akak buat tadi betul. Menyimpan bukti dan mendapatkan pemeriksaan doktor itu langkah yang bijak."
Saya jelaskan bahawa kita tidak boleh menuduh atau membuat kesimpulan sendiri tentang punca lebam itu. Itu bukan tugas kita, dan mahkamah yang akan menilai. Tetapi apabila ada kebimbangan yang munasabah tentang keselamatan kanak-kanak, undang-undang memberi ruang untuk kita bertindak dengan cepat.
Kemudian saya cadangkan satu langkah: memohon injunksi di Mahkamah Syariah untuk menghalang bekas suami mengambil anak itu dari sekolah, sementara mahkamah meneliti perkara ini dengan lebih terperinci.
Dia terdiam sekejap.
"Injunksi tu... maksudnya mahkamah larang dia terus ke?"
Saya senyum dan terangkan dengan bahasa mudah. Injunksi ialah perintah mahkamah yang bersifat perlindungan. Ia bukan hukuman, dan ia tidak bermaksud bekas suami dianggap bersalah. Ia hanya menahan keadaan supaya tiada apa-apa yang berlaku kepada anak semasa kita menunggu perkara ini didengar dengan adil. Dalam setiap keputusan berkaitan anak, yang paling utama ialah kebajikan dan keselamatan si anak.
"Kalau dia kata saya nak halang dia jumpa anak sendiri?" tanyanya.
"Kita tidak menutup pintu sepenuhnya, kak. Mahkamah akan menilai. Yang kita minta hanyalah perlindungan sementara, supaya anak akak tidak berada dalam situasi yang berisiko."
Dia menarik nafas panjang. Bahunya yang tegang sejak tadi mula turun sedikit.
"Saya cuma nak tidur malam dengan tenang, Encik."
Kata-kata itu melekat dalam kepala saya sampai hari ini.
Minggu itu juga kami menyediakan permohonan. Gambar, laporan doktor dan mesej-mesej yang disimpan kami susun dengan teliti. Kami juga menasihati Kak Maisarah supaya memaklumkan pihak sekolah dengan cara yang baik, supaya guru-guru faham situasinya dan boleh berhati-hati.
Hari dia keluar dari pejabat saya, dia berhenti di pintu dan berpatah balik.
"Terima kasih sebab tak suruh saya diam dan sabar sahaja."