07/08/2021
ANDA DIFITNAH DAN DIMALUKAN?
Apa lagi, jom saman orang itu juta-juta. Kita dapat duit pampasan dan maruah kita terbela. Bunyinya menarik? Tapi ini yang mungkin anda tak tahu.
1. Ya nak saman juta-juta bunyinya menarik, tapi saudara-saudari, mari saya kongsi sedikit cerita tentang saman malu supaya kita boleh lihat dari kaca mata seorang peguam. Dan lepas tu saya akan kongsi juga plan tindakan apa yang ambil kalau ia berlaku pada anda.
INTRO
2. Saman malu ialah tindakan saman sivil yang kita ambil untuk dapatkan pampasan dari orang yang menfitnah kita. Dua pihak yang terlibat dalam saman sivil ialah antara mangsa (sebagai Plaintif/penuntut), melawan orang yang dikatakan buat fitnah (sebagai Defendan/dituntut). Bab ini saya akan cerita lanjut nanti dan akan bezakan dengan tindakan undang-undang jenayah serta kesannya pada kita.
3. Saman malu boleh dibuat keatas kenyataan fitnah yang memalukan kita samada kenyataan itu dalam bentuk bertulis atau secara lisan. Yang penting ialah kita boleh buktikan di mahkamah bahawa memang Defendan yang buat kenyataan itu. Contoh kenyataan bertulis ialah posting medsos dan kalau secara lisan seperti perbualan atau ucapan dihadapan orang lain secara fizikal ataupun online.
4. Apabila ada kenyataan fitnah yang memalukan kita, ada tiga syarat asas saman malu yang perlu dipenuhi. Pertama, kenyataan itu mestilah bersifat memalukan; Kedua, kenyataan itu mestilah merujuk kepada kita; dan ketiga kenyataan itu mestilah disampaikan kepada pihak lain. Saudara-saudari, biar saya huraikan lebih lanjut.
KENYATAAN YANG BOLEH DISAMAN MALU
5. Pertama; kenyataan itu mesti bersifat memalukan. Maksudnya ia boleh menyebabkan kita dipandang rendah atau dibenci atau dihindari atau diremehkan oleh masyarakat. Ayat yang digunakan p**a boleh jadi maknanya secara 'direct' memalukan kita contohnya “A ada skandal dengan isteri orang” atau boleh juga secara 'indirect' seperti sindiran contohnya: “A bercinta dengan B”. Sekali pandang kenyataan itu macam tiada masalah kan? Tapi kalau saya katakan B sebenarnya adalah isteri C, fakta itu mengubah segala-galanya. Atau boleh juga seperti "A s**a makan luar, B adalah buktinya". Dimata masyarakat, kenyataan-kenyataan itu menunjukkan A sebagai orang yang rendah moral dan terlibat dengan aktiviti yang salah di sisi undang-undang dan agama. Itu memalukan.
6. Kedua; kenyataan itu mestilah merujuk khas kepada kita samada nama disebut secara specifik atau pun tidak. Maksudnya, kenyataan dibuat tidak terlalu umum dan orang awam yang baca atau dengar boleh faham bahawa kitalah yang dimaksudkan dalam kenyataan itu. Kalau terlalu umum, susah nak buktikan kepada siapa ia ditujukan dan susah juga untuk syarat kedua ini dipenuhi.
7. Ketiga; kenyataan itu dibuat dan mestilah disampaikan kepada pihak ketiga. Pihak ketiga ini boleh jadi sesiapa sahaja selain dari Plaintif dan Defendan. Disini ada beberapa pengecualian contohnya kenyataan yang dibuat kepada pihak polis dalam menjalankan tugasnya. Jadi bila A buat repot polis mengatakan B mencuri duitnya, itu tak mengapa asalkan repotnya dibuat tanpa niat jahat. Tapi kalau selepas A buat repot polis, kemudian kongsi p**a salinan repot itu kepada kawan-kawannya di medsos, yang itu boleh disaman.
8. Dan apabila lengkap syarat-syarat di atas, umumnya kes kita adalah kes yang boleh disaman. Sebagai Plaintif, seterusnya kena bersedia untuk buktikan syarat-syarat tadi. Manakala dipihak Defendan, syarat-syarat ini akan dinafikan dan akan ada pembelaan undang-undang yang boleh dibangkitkan. Pembelaan dalam saman malu ini kalau berjaya dibangkitkan, kenyataan Defendan akan diterima dan tidak lagi dianggap sebagai satu kesalahan. Jadi kalau Plaintif nak menang saman, kene bersedia untuk sangkal pembelaan Defendan.
Ok, jelas setakat ni? Kita teruskan.
PEMBELAAN YANG AKAN MENGGAGALKAN KES SAMAN
9. Bila kita saman Defendan kerana buat kenyataan yang memalukan kita, dia berhak membangkitkan pembelaan undang-undang untuk mengatakan tindakannya bukan satu kesalahan. Ada beberapa pembelaan yang biasa digunakan oleh Defendan dalam kes saman malu dan saya akan kongsi 3 daripadanya disini;
10. PEMBELAAN PERTAMA; Justifikasi. Apabila disaman sebab dia keluarkan suatu kenyataan, Defendan boleh bela diri dengan mengatakan kenyataan itu adalah fakta yang boleh dibuktikan. Contoh, A mengatakan B ada skandal luar nikah dengan C. Jika disaman, pembelaan A boleh diterima kalau dapat dibuktikan B sememangnya ada hubungan luar nikah dengan C. Dan apabila terbukti, A akan selamat dari saman itu.
11. PEMBELAAN KEDUA; Komen yang adil. Defendan juga boleh bela diri dengan mengatakan kenyataan yang dibuat adalah komen yang adil (fair comment) keatas sesuatu kejadian yang telah berlaku. Contoh mudah, Z sebagai pengulas s**an mengkritik prestasi pas**an bola sepak selepas kekalahan yang memalukan dengan pihak lawannya. Untuk berjaya dalam pembelaan ini, komen itu mestilah lulus syarat-syarat ini p**a:
a) Kenyataan itu adalah dalam bentuk komen dan bukannya pernyataan fakta yang menyeleweng;
b) Komen itu adalah berdasarkan kejadian yang terbukti berlaku;
c) Komen itu mestilah komen yang adil;
d) Komen dibuat bagi tujuan manfaat umum; dan
e) Komen itu dibuat tanpa niat jahat keatas Plaintif.
Cukup saja syarat-syarat ini, maka selamatlah Z.
12. PEMBELAAN KETIGA; Kenyataan Defendan dibuat kepada pihak yang bertanggungjawab atau berkepentingan untuk memperbetulkan keadaan. Contohnya, A (seorang pelajar kolej) buat aduan kepada kepada B (dekan fakulti) tentang salah laku C (pensyarah yang mengajar A). Akibatnya, C saman A. Untuk berjaya dengan pembelaan ini;
a) A perlu buktikan bahawa A adalah orang yang bertanggungjawab atau berkepentingan untuk buat aduan; dan
b) B adalah pihak yang bertanggungjawab mendengar aduan itu.
13. Dalam contoh di atas, B sebagai orang atasan C sememangnya tempat yang betul untuk A buat aduan.
14. Jadi saudara-saudari, kalau kita nak mengadu tentang rakan sekerja yang buat salah laku, buatlah aduan kepada orang atasan atau tempat yang sepatutnya. Jangan p**a buat perkongsian di medsos atau membawang dengan kawan-kawan sebab silap hari bulan, kita yang kena saman.
15. Selain itu ada lagi pembelaan lain untuk kes saman malu tapi yang saya kongsi ini adalah beberapa contoh yang biasa saya temui atau biasa dibangkitkan dalam kes-kes saman malu di Malaysia. Kalau Defendan berjaya bangkitkan salah satu dari pembelaan-pembelaan di atas, maka Defendan telah berjaya membela dirinya dan saman Plaintif akan gagal. Tak kira berapa juta wang yang dituntut oleh Plaintif, Defendan tak perlu bayar walaupun satu sen.
GANTU RUGI
16. Bercakap pasal wang ni, biasa sangat kita dengar jumlah tuntutan saman malu yang bukan sikit-sikit. Gerun dengar saman sampai berjuta-juta dan kadangkala ada yang sampai tak masuk akal. Begini, sebenarnya Plaintif boleh failkan saman seberapa besar jumlah yang dia nak tuntut. Samada RM1 juta mahupun RM100 juta, hakikatnya hanya mahkamah yang akan nilai jumlah sebenar yang layak dibayar kepada Plaintif, itu pun kalau dia berjaya buktikan kes. Saman RM1 juta, sekalipun Defendan didapati 'bersalah', tak semestinya Plaintif akan dapat RM1 juta.
17. Kalau kes Plaintif berjaya dibuktikan (maknanya Defendan didapati bertanggungjawab telah menfitnah atau memalukan Plaintif), mahkamah akan menilai jumlah yang wajar Defendan bayar kepada Plantif. Macam yang saya sebut awal-awal tadi, kes saman sivil ni matlamat utamanya ialah untuk beri pampasan kepada mangsa. Dan asas memberi pampasan mestilah berdasarkan kerugian yang Plaintif alami.
18. Kalau Plaintif boleh buktikan nilai kerugian akibat fitnah Defendan secara specifik, maka cerah peluang untuk jumlah tuntutan itu dibenarkan mahkamah. Dalam undang-undang, ini disebut sebagai ganti rugi khas. Contohnya, A fitnah syarikat B dengan mengatakan syarikat B menipu dan menyeleweng duit pelanggan. Akibatnya pelanggan-pelanggan B membatalkan tempahan dan enggan meneruskan transaksi. Kerugian yang dialami ini boleh dikira secara specifik maka yang ini mudah untuk dibuktikan dimahkamah.
19. Berbeza dengan ganti rugi khas, satu lagi bentuk ganti rugi disebut sebagai ganti rugi am. Kerugian ini tak boleh dikira dengan duit contohnya macam rasa malu, rosak reputasi, tekanan perasaan dan lain-lain lagi. Untuk kerugian yang tak boleh dikira dengan duit ini, mahkamah akan buat taksiran berdasarkan latarbelakang kes dan pihak-pihak yang terlibat untuk tentukan nilai ganti rugi.
20. Pampasan yang tinggi untuk ganti rugi am biasanya hanyalah untuk individu yang mana karier dan masa depannya sangat bergantung dengan reputasi yang dibina dan nama baik yang telah dirosakkan Defendan. Itu pun biasanya tidaklah sampai jutaan ringgit. Paling penting kena ingat, prinsip saman sivil adalah untuk ganti kerugian yang dialami, bukan ambil peluang untuk buat keuntungan.
21. Setiap kes adalah berbeza fakta dan meritnya. Jadi mahkamah akan nilai setiap kes berdasarkan merit masing-masing. Tapi walaupun setiap kes berbeza, kaedah memberi pampasan diatas bolehlah dijadikan panduan umum untuk kita faham tentang hakikat amoun tuntutan saman malu yang tak kalah berjuta-juta dimedia.
KOS GUAMAN
22. Alang-alang kita bercakap tentang duit dan pampasan, elok juga kita ambil tahu pasal kos untuk saman orang. Selain kos-kos pemfailan yang perlu dibayar ketika nak failkan saman, fi professional peguam juga adalah faktor yang perlu diambil kira. Tugas membuktikan elemen saman malu dan juga pembelaannya adalah rumit, menyebabkan kes saman malu merupakan antara kes sivil yang paling tinggi kosnya dibandingkan dengan yang lain-lain.
23. Kos lantikan setiap firma guaman adalah tak sama diantara firma-firma guaman bahkan kebanyakan peguam biasanya akan caj fi berdasarkan kepakaran dan kes**aran fakta kes tersebut. Lebih s**ar fakta kes, lebih tinggi fi nya. Cuma rata-rata yang saya jumpa fi saman malu adalah bermula dari RM50k keatas. Saya fikir ia munasabah, mengenangkan kerumitan kes saman malu dan juga tempoh perjalanan kes yang biasanya berlarutan sampai bertahun-tahun. Tapi kalau kes tak rumit mungkin juga fi akan jadi lebih rendah. Kalau anda nak tahu secara lebih pasti, rujuk dengan peguam anda.
ALTERNATIF
24. Soalan: Kos nak saman tinggi jadi ada ke keadilan untuk orang yang difitnah, dimalukan tapi tak cukup duit untuk saman orang yang menfitnahnya? Ada. Biar saya terangkan.
25. Selain boleh disaman dimahkamah, memfitnah juga tergolong sebagai satu kesalahan jenayah. Dengar sini, dalam satu kenyataan fitnah yang, ada 2 tindakan undang-undang yang boleh diambil iaitu sivil dan jenayah. Beza antara sivil dan jenayah adalah; saman sivil fungsinya untuk mengganti rugi kepada mangsa manakala pertuduhan jenayah untuk menghukum pelaku supaya jadi pengajaran kepada semua.
26. Macam yang saya dah cerita awal tadi tentang dua pihak yang terlibat dalam saman sivil, bezanya dalam pertuduhan jenayah adalah ia antara pihak kerajaan/negara (diwakili oleh Pendakwaraya) melawan orang yang buat fitnah (selaku tertuduh). Sebab itu, dalam pertuduhan jenayah mangsa tak perlu keluarkan duit untuk kes dibawa ke mahkamah. Dalam kes jenayah, mangsa hanyalah saksi dan bukan pihak yang menuntut. Seandaikan tertuduh didapati bersalah, tiada pampasan untuk mangsa. Kalau nak pampasan, mangsa kena tuntut melalui saman sivil. Clear ya?
27. Untuk kes jenayah fitnah, mangsa hanya perlu buat laporan polis dan datang ke mahkamah apabila dipanggil untuk jadi saksi dalam perbicaraan nanti. Selain itu semua kerja akan dibuat oleh pihak polis dan juga pendakwaraya. Mula-mula polis akan siasat, kemudian pendakwaraya akan nilai fakta kes samada boleh dituduh di mahkamah atau tidak. Tapi jangan risau, penilaian pendakwaraya pastinya akan meliputi semua aspek demi menjaga keadilan untuk semua pihak.
KENYATAAN FITNAH DAN MEMALUKAN DARI SUDUT JENAYAH
28. Huraian panjang kesalahan jenayah menfitnah boleh ditemui dalam Seksyen 499 Kanun Keseksaan dan hukumannya p**a dalam Seksyen 500 akta yang sama. Jadi jangan ingat kalau menfitnah hanya boleh disaman, ia juga boleh didenda dan dipenjara. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sampai 2 tahun atau denda atau dua-dua sekali. Tak berbaloi kan kalau dihukum penjara sampai 2 tahun hanya kerana komen-komen kita di medsos. Ohya, bagi satu perbuatan fitnah, kedua-dua pertuduhan jenayah dan saman sivil boleh diambil keatas pelaku secara serentak atau boleh juga diambil salah satu sahaja. Jadi pesan pada kawan, bertanggungjawab dan berhati-hatilah ketika komen atau berkongsi cerita di medsos.
29. Walaupun orang yang menfitnah itu tak mampu kita nak saman, keadilan masih boleh ditegakkan dengan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa. Cuma kita sebagai mangsa, perlu bantu PDRM untuk bina kes yang kuat supaya kes kita dapat diketengahkan. Sediakan maklumat yang cukup dan lagi baik kalau boleh bekalkan dokumen-dokumen yang berkaitan.
APA KENA BUAT BILA DIFITNAH
30. Jadi kalau anda dapati anda difitnah dan di medsos, ambil langkah-langkah ini supaya jadi persiapan untuk membela maruah anda;
31. LANGKAH 1: Buat tangkap layar (screen shot) kenyataan-kenyatan yang dibuat melalui telefon pintar atau komputer anda. Pastikan ia jelas dan boleh dibaca dengan memaparkan nama pembuat kenyataan fitnah serta masa atau tarikh kenyataan dibuat. Selain itu kalau kenyataan tersebut mendapat respon dari pengguna medsos lain, respon-repon itu anda ambil juga. Zaman sekarang kebanyakan gajet kita boleh membuat rakaman video di skrin, jadi manfaatkan teknologi ini. Oh ya, salin juga link posting tersebut. Pokoknya dapatkan sebanyak mungkin maklumat yang boleh digunakan untuk membuktikan kes anda di mahkamah.
32. LANGKAH 2: Buat tangkap layar profil orang yang buat kenyataan fitnah itu berserta nama dan gambarnya (jika ada). Buat tangkap layar rakan-rakan dan kenalannya dalam senarai rakan atau pengikutnya. Sekali lagi, jangan lupa buat salinan link profile tersebut.
33. LANGKAH 3: Selepas anda dapat semua maklumat yang diperlukan di atas, pada masa ini ada baiknya anda dapatkan nasihat guaman yang professional. Peguam boleh bantu anda menilai keterangan yang ada dan buat plan tindakan seterusnya. Saya nasihatkan tak perlu anda balas kenyataan-kenyataan tersebut dulu supaya mengelakkan anda terdedah dari melakukan kesilapan yang serupa. Bagaimanapun, anda kena cepat bertindak ke langkah seterusnya supaya fitnah itu tak terus tersebar.
34. LANGKAH 4: Buat repot polis. Boleh buat repot polis dimana-mana balai polis yang berhampiran dengan anda. (InsyaAllah dalam sharing yang lain saya akan ajar cara buat repot yang membantu kes anda). Sebaiknya semasa buat repot, bersedia dengan dokumen-dokumen yang anda dah kumpulkan diatas. Kebiasaanya sejurus buat repot, anda akan dirujuk kepada pegawai penyiasat kes. Kalau anda dah bersedia dengan dokumen dan maklumat tadi, itu akan memudahkan pegawai pengiasat untuk siasat kes anda dan lengkapkan kertas siasatan.
35. LANGKAH 5: Buat tuntutan untuk turunkan posting kenyataan fitnah dan permohonan maaf secara terbuka. Sebenarnya ada beberapa pilihan yang boleh dibuat bergantung kepada fakta kes dan keperluan mangsa. Atas nasihat peguam, ada sesetengah mangsa yang menuntut secara terus permohonan maaf kepada pemfitnah dan kalau gagal, barulah repot polis dan tindakan undang-undang selanjutnya akan diambil. Ada juga yang terus buat repot polis dan selepas itu baru menuntut posting fitnah diturunkan serta permohonan maaf dibuat. Ada juga diperingkat ini yang terus tuntut ganti rugi bagi tujuan selesaikan kes diluar mahkamah. Namun jarang sekali Defendan akur dengan tuntutan itu.
Selepas semua tindakan diatas anda ambil, seterusnya bolehlah buat pertimbangan samada ingin failkan saman sivil atau tidak keatas pelaku. Kalau anda mahukan pampasan dan ganti rugi, maka anda perlu failkan saman sivil. Apapun, disetiap langkah yang saya nyatakan diatas sebaik-baiknya dapatkan nasihat yang lengkap dari peguam yang dah hadam fakta kes anda terlebih dulu.
Saya harap sharing ini bermanfaat.
Halem Husin.
Shah Alam.