Muhammad Rafique Rashid Ali

Muhammad Rafique Rashid Ali Calon No.2 P108 Shah Alam | Peguam

24/10/2024

MAAF, tetapi...

1.Melalui Kenyataan Media yang dibacakan oleh anaknya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur petang tadi, Dato' Sri Najib Razak telah menyatakan beliau merasa amat terluka dengan skandal 1MDB yang berlaku dibawah pengawasannya semasa beliau menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

2.Beliau juga memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia. Namun pada masa sama meletakkan Jho Low dan PetroSaudi sebagai dalang.

3.Maaf, tetapi...bukankah pada zaman Dato'Sri Najib ,seorang Peguam Negara digantikan dengan Apandi Ali ambil alih?

4.Maaf, tetapi...bukankah pada zaman Dato' Sri Najib juga Pasukan Petugas Khas ( Special Task Force) yang menyiasat 1MDB terdiri dari Peguam Negara, SPRM dan PDRM ditamatkan tanpa alasan munasabah?

5. Maaf, tetapi...bukankah pada zaman Dato' Sri Najib juga dua(2) individu Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang dituduh dengan undang-undang SOSMA kerana cuba minta siasatan ke atas 1MDB dijalankan oleh badan siasatan antarabangsa?

6. Maaf, tetapi... bukankah pada zaman Dato' Sri Najib juga pimpinan-pimpinan utama antara lainnya Dato Seri Mukhriz Mahathir, Tan Sri Muhyddin Yaasin dan Dato Seri Shafie Apdal dibuang dari UMNO kerana kelantangan dan keberanian mereka mempersoal isu 1MDB?

7. Maaf, tetapi...bukankah pada zaman Dato' Sri Najib juga pelbagai pihak yang bersuara terhadap isu 1MDB dipanggil polis dan disiasat?

8. Maaf, tetapi...bukankah pada zaman Dato' Sri Najib juga Peguam Negara Apandi Ali sahkan tiada apa-apa keterangan salahlaku? Namun Mahkamah p**a kemudiannya dapati bersalah atas keterangan yang sama.

9.Ya, memaafkan itu amalan yang mulia. Malah yang lebih mulia adalah yang memohon maaf dan yang kemudian memaafkan.

10. Tetapi, Najib Razak perlu sekarang menamakan setiap individu yang menjadi dalang serta individu-individu lain yang bersekongkol dan sama-sama bersubahat dalam menutup skandal 1MDB.

11.Kesemua pegawai-pegawai Kerajaan dan/atau penguatkuasaan dan/atau jabatan dan/atau pendakwaan dan/atau GLC dan/atau ahli-ahli lembaga pengarah yang bertanggungjawab harus dinamakan.

12. Individu-individu yang menyatakan pernah berjumpa Raja Arab atau tahu mengenai derma Arab juga mesti dinamakan kerana turut bersubahat. Tidak kira pangkat atau status.

13. Ini cabaran Pejuang pada Dato' Sri Najib Razak.

14. Kalau tidak, jangan salahkan rakyat yang kata bahawa maaf itu hanya di lidah sahaja, demi syarat mendapat kemudahan tahanan rumah yang giat ingin dijalankan sepertimana diperlihat dalam ucapan pembentangan Belanjawan Madani Ketiga.

Rafique Rashid
Ketua Penerangan PEJUANG
24.10.2024

18/09/2024

MOU Tumpulkan Demokrasi.

1. Terlalu banyak kesan negatif yang timbul sekiranya mana-mana ahli Parlimen atau Ahli Dewan Rakyat memasuki MOU yang diusahakan oleh Kerajaan Madani. Ianya mampu dilabel sebagai tidak berperlembagaan.

2. Perkara paling mustahak yang dipikul oleh seorang ahli Parlimen bukannya semata-mata dasar partinya tetapi jauh lebih utama aspirasi pengundi rata-rata Rakyat yang meletakkannya di kerusi Parlimen. Suara rakyat suara keramat kata orang yang kini cuba padamkan suara itu.

3. Tidak keterlaluan untuk dinayatakan juga bahawa tujuan MOU ini diperkenal adalah untuk 'muzzle the opposition'. Cubaan secara licik untuk mendiamkan suara pembangkang. Acap kali kita lihat perkara ini berlaku.

4. Memasukkan limitasi atau had perkara-perkara yang boleh dibahas atau diucap semasa dalam Sidang ( yang mana hak ini terjaga dari segi kekebalan) adalah satu perbuatan yang harus dilawan habis-habisan oleh mana-mana Ahli Parlimen tidak kira dari blok Pembangkang , Kerajaan mahupun yang berkecuali.

5. Sifirnya mudah. Mana-mana Ahli Dewan Rakyat ( ADR) bukan sahaja membawa suara partinya tetapi hasrat dan niat pengundinya. Bukan semua Rakyat boleh ada hak bersuara dalam Sidang, hanya yang dipilih sahaja melalui pilihan raya. Kalau itupun hendak ditutup dan dihalang, baik gugur sahaja pilihan raya jadi diktator.

6. MOU yang kini berlegar di media sosial dari semalam nampaknya tidak mendapat penafian ketulennya dari mana-mana wakil Kerajaan. Maka ianya benar. Begitu juga syarat-syarat yang dinyatakan disitu.

7. Tempoh kuatkuasa yang jelas merujuk kepada tempoh kuasa PMX dan Kerajaan campuran Madani. Ianya semata-mata tidak ganggu tampuk kuasa PMX. Bahasa berbunga tetapi jangan anggap Rakyat tidak bijak, Terpancar ianya hanya kerana ingin kekal kuasa tanpa hirau dijatuhkan.

8. Meletakkan obligasi atau syarat p**a jelas bertentang dengan semangat demokrasi berparlimen. Kalau tugas pembangkang adalah sebagai semak dan imbang mengapa p**a letakkan syarat untuk semak dan imbang? Pelik tetapi inilah yang ingin dilakukan oleh Kerajaan yang kononnya reformist.

9. Syarat yang terkait dengan tuturan p**a amat janggal. Tidak bolehkah mana-mana ADR bercakap mengenai Melayu? Mengenai kerisauan orang Melayu makin dipinggirkan dari kuasa membeli hartanah di bandar, makin mundur ke desa, makin dihimpit dari segi persempadanan semula? Tidakkah boleh ADR menegur Raja-Raja Melayu secara berhemat? Tidakkah boleh ADR melahirkan kerisauan isu-isu pluralisme yang makin menjadi? Tidakkah boleh ADR bercakap mengenai isu-isu LGBTQ+ yang menular dalam Negara?

10. Kalau MOU ini berhasrat melahirkan " The Seven Principles of Public Life" ( hanya retorik dan lakonan semata-mata) mengapa p**a batu asas Perlembagaan yang meletakkan hak-hak orang Melayu dan agama Islam perlu dihadkan? Songsang dan pelik jadinya.

11. Kebebasan hak asasi tidak boleh sama sekali mengiakan hak penuh kepada semua tanpa batasan. Malaysia ada acuan tersendiri. Kita ada Perlembagaan yang menghadkan kesamarataan. Uniknya Malaysia adalah ianya tidak sama dengan hak asasi tanpa batasan yang diadvokasikan oleh masyarakat dunia barat yang kononnya jauh lebih maju dari kita. MOU yang dijaja p**a ingin perkenal kesamarataan penuh. Ini juga harus dilawan.

12. Selama 67 tahun kemerdekaan belum ada lagi Kerajaan yang betul-betul bersungguh dalam merangka MOU sepertimana sekarang. Dulu pada masa PMIX dibuat tetapi masa itu siapa Ketua Pembangkang? Itupun tidak sampai tahap membisukan ADR.

13. MOU ini sebenarnya cara Kerajaan campuri urusan Legislatif. Rakyat perlu peka dan lawan. Tanpa suara pembangkang, Kerajaan bebas bertindak sewenangnya.

14. Hakikatnya yang cuba dihalang bukan sahaja ADR, tetapi keseluruhan suara Rakyat. Parlimen dewan bercakap. Kalau bercakap di Parlimen pun tidak boleh dimana lagi suara kita?

Rafique Rashid
Ketua Penerangan Pejuang
18.09.2024

21/08/2024

HAK BERSUARA & 3R.

1. Asas penting dalam mana-mana demokrasi adalah hak untuk bersuara. Hak ini termasuk hak membuat kenyataan, dan menyatakan fakta. Fakta itu kadang-kadang perit untuk ditelan kerana bukan semua boleh setuju dengan fakta.

2. Kerajaan p**a ada hak melalui Parlimen untuk menggubal undang-undang bagi maksud memberi had atau limitasi kepada kebebasan bersuara. Tapi ianya mestilah menurut undang-undang.

3.Terbaru nampaknya hak kebebasan bersuara mantan Perdana Menteri ke-8 dan ahli parlimen Pagoh menjadi isu. Dibuat laporan polis serta kenyataan dari pihak Istana Pahang yang dikhabarkan murka dengan ucapan di PRK Nenggiri minggu lalu.

4. Ucapan sekitar 40:19 yang dari minit 15:55 ke 17:23 yang dikatakan melanggar 3R. Menyentuh isu berkaitan KBDYMM YDPA Al Sultan Abdullah ( pada waktu itu, pasca PRU 15).

5. Jika didengar ucapan itu ianya kenyataan fakta bahawa menurut Ahli Parlimen Pagoh beliau telah ada 115 ahli parlimen menyokong beliau sebagai calon PM ke-10. Dari segi perlembagaan Perkara 43 katanya beliau layak dilantik sebagai Perdana Menteri.

6. Ini kenyataan fakta. Kenyataan fakta dari segi undang-undang tidak boleh sama sekali dikategorikan sebagai menghasut. Jauh sekali 3R.

7. Tiada akta atau undang-undang 3R dalam Negara.Yang wujud hanyalah undang-undang yang memastikan hak kebebasan bersuara itu ada hadnya. Melabel sesuatu sebagai 3R sahaja tidak betul . Contohnya seperti di atas perenggan 5 dan 6.

8. Situasi sama berlaku semasa PM ke-7 meletakkan jawatan dan tempat beliau diambil alih oleh PM ke-8. Bukankah waktu itu Tun Mahathir mempunyai 114 ahli parlimen juga yang menyokong beliau? Kenyataan fakta . Fakta tidak boleh dijadikan hasutan semata-mata.

9. Undang-undang dan kesamarataan penting dalam Negara. Begitu juga konsep Raja Berperlembagaan. Kita tidak amal konsep raja mutlak atau " absolute monarchy". Sebab itu Malaysia sentiasa amalkan prinsip Rulers are above politics.

10. Perbezaan antara raja-raja serta rakyat kebanyakkan itu ada dalam Perlembagaan. Contoh paling hampir adalah mahkamah. Rakyat biasa mahkamah sivil dan jenayah. Golongan raja-raja pemerintah negeri atau YDPA ada mahkamah khas sepertimana Perkara 182.

11. Undang-undang itu wujud . Cuma jangan disalahguna atau dijadikan alat oleh mereka yang berkuasa.

12. Janganlah setiap perkara dilabel 3R sehingga menakutkan Rakyat untuk bersuara.

13. Kerajaan yang takut dengan rakyat yang bersuara adalah Kerajaan yang bimbang ianya sedang hilang kuasa.

Rafique Rashid
21.08.2024

31/07/2024

Pembunuhan Ismail Haniyeh Kekejaman Zionis Israel!

1. Pejuang mengutuk pembunuhan Ismail Haniyeh di Tehran, Iran hari ini.

2. Perbuatan terkutuk dan hina ini mesti dilawan sekeras-kerasnya oleh masyarakat dunia. Rejim Zionis Israel yang bertanggungjawab mesti dibawa ke muka pengadilan.

3. Sehingga kini Israel masih terus-menerus tanpa belas kasihan membunuh dan melakukan jenayah perang serta genosida terhadap rakyat Palestin yang hanya mahu kebebasan dan kemerdekaan tanah air mereka.

4. Pejuang menggesa agar pemimpin-pemimpin dunia memutuskan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan Israel serta-merta. Israel mesti dilabel sebagai pariah state!

5. Masa untuk persidangan, perbincangan atau rundingan tidak lagi relevan. "Two-state solution" bukan penyelesaian.

6. Pejuang merakamkan takziah serta ucapan Allahummaghfirlahu war hamhu wa afihi wa fuanhu, kepada keluarga , sahabat handai, kenalan, serta masyarakat Palestin atas syahidnya Ismail Haniyeh.

7. Dunia telah hilang seorang insan yang hebat, pemimpin pembebasan Palestin yang ulung serta seorang manusia yang amat merendah diri dan disenangi oleh sesiapa sahaja yang berjumpa beliau.

8. Moga peristiwa pembunuhan Ismail Haniyeh menyemarakkan lagi semangat perjuangan pembebasan Palestin dan Masjid Al-Aqsa dari tangan rakus Zionis Israel.

9. Pejuang memanggil kesemua ahli-ahlinya serta rakyat Malaysia keseluruhannya untuk menyahut seruan solidariti dengan mana-mana pihak yang menganjurkan mana-mana perhimpunan atau acara protes besar-besaran terhadap Israel dan sekutunya Amerika akibat tindakan terkutuk ini.

Rafique Rashid
Ketua Penerangan Pejuang
31.07.2024
12.53pm

20/07/2024

Demokrasi Yang Di-Kafankan.

1. Parlimen berasal dari terma Perancis. " Parler" maksudnya " bercakap". Dewan Rakyat maksudnya dewan untuk Rakyat bercakap melalui wakil yang dipilih oleh Rakyat.

2. Kini kita tahu Machang telah digantong 6 bulan. Maknanya suara Machang tiada dalam Parlimen.

3. Kerajaan telah usulkan agar Machang digantung 6 bulan. Usul ini adalah akibat , menurut Kerajaan , tindakan Machang yang memetik nama pegawai KWSP yang didakwa menjadi dalang dalam isu penjualan saham terkait dengan penswastaan MAHB.

4. Kerajaan dalam membawa Usul tersebut menyatakan ianya perlu kerana nama penjawat awam perlu dibela. Kata Kerajaan lagi , surat layang yang dibawa Machang berunsur fitnah yang kalau tidak dihalang akan menyebabkan "floodgate", isu-isu lain boleh disandar pada surat layang tanpa bukti dan tanpa orang yang dinamakan mempertahan dirinya.

5. Persoalan paling utama yang perlu dilihat Rakyat adalah mengapa pihak yang menjadi subjek perkara Usul itu yakni Machang tidak dibenar pertahan diri?

6. Bukankah hak mempertahan diri itu hak asasi mana-mana Rakyat? Bukankah ianya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan?

7. Bagaimana p**a dengan Usul yang dibawa , bukankah ianya juga defektif? Bagaimana pegawai KWSP dikatakan penjawat awam?

8. KWSP ditubuh bawah Akta KWSP. Pegawai KWSP tidak tergolong sebagai penjawat awam dibawah peruntukan Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan. Bagaimana isu ini tidak dapat difahami oleh mereka di blok Kerajaan?

9. Ada hujah yang mengatakan definisi pegawai KWSP dibawah Seksyen 70 Akta KWSP melayakkan pegawai itu sebagai penjawat awam. Tetapi lihat balik Seksyen 70 tersebut ianya bagi tujuan pendakwaan bawah Kanun Keseksaan. Maka Kanun Keseksaan tidak boleh melangkaui Perlembagaan Persekutuan.

10. Ada p**a yang katakan isu ini isu surat layang . Baik, kalau isunya isu surat layang, mengapa tidak benar Machang pertahan diri dan jelaskan mengenai surat layang tersebut?

11. Ada juga yang dakwa bagaimana p**a nasib pegawai KWSP tersebut? Siapa yang akan bela dia? Baik, kalau begitu bukankah Kerajaan boleh bela dia dalam Parlimen? Bukankah pembelaan itu boleh sahaja dilakukan selepas dengar Machang?

12. Tidak berapa lama dulu, ahli-ahli dalam blok Kerajaan semasa jadi pembangkang melantun dalam Dewan apabila ahli mereka digantung. Kata mereka perlu tubuh jawatankuasa khas.

13. Kalau begitu,mengapa tidak rujuk Machang ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Kebebasan Asasi dan Hak-Hak di Bawah Perlembagaan? Bukankah ini tatakelola terbaik? Bukankah ini akan bolehkan Machang bela diri dan serah bukti-bukti? Bukankah kalau benar wujud dalang dalam hasil penjualan aset Negara , Rakyat perlu tahu?

14. Namun,dengan Usul diluluskan setelah undi belah bahagi, nampaknya semua itu tidak berguna lagi.

15. Maka timbul pakar-pakar. Yang ada ijazah undang-undang, yang miliki ijazah tetapi tidak beramal sebagai Peguam, tidak kurang juga yang ada ijazah undang-undang tetapi menulis sahaja serta paling ramai pakar pentaksub Kerajaan yang mula putarkan isu.

16. Dari isu surat layang ke isu Qunut Nazilah. Dari isu KWSP itu penjawat awam ke isu kewajipan pertahan penjawat awam.

17. Tetapi dimanakah hak Rakyat yang berhak tahu betulkah ada dalang dalam penjualan dan penswastaan aset Negara?

18. Ya, kekebalan parlimen tidak harus disalahguna. Tetapi adakah kekebalan parlimen boleh disalahguna untuk halang Rakyat dari bertanya? Bukankah bertanya itu hak Rakyat yang suaranya dibawa oleh wakil yang mereka sendiri pilih?

19. Akhirnya, siapa hendak bersuara kalau dewan untuk bersuara pun disenyapkan?

20. Demokrasi telah dikafankan!

Rafique Rashid
Ketua Penerangan Pejuang
20.07.2024

10/07/2024

Dengan Izin, Yang Di-Pertua.

1. Melalui surat bertarikh 9 Julai 2024, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Speaker Parlimen Malaysia, mengarang hampir 3 muka surat memberi alasan menolak pengosongan kerusi oleh Ahli Dewan Rakyat Bersatu yang dikatakan lompat parti.

2. Antara alasan yang diberikan adalah prinsip keluhuran perlembagaan serta Perlembagaan Persekutuan dan konsep kestabilan politik.

3. Speaker juga merujuk kepada Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang pada satu ketika dulu beliau sendiri sokong dan dokong malah hujahkan perlu untuk pastikan aspirasi Rakyat terjaga.

4. Tetapi nampaknya berada di atas jauh lebih susah melihat kepada situasi sebenar. Mungkin ini sindrom yang melanda Negara. Mereka yang di kerusi empuk mudah lupa, Melayu atau tidak.

5.Keputusan Speaker jelas salah disisi undang-undang dan tidak langsung bertepatan dengan Perlembagaan. Ianya " constitutionally wrong."

6. Semangat dan niat, " the spirit and intention", yang membawa Dewan Rakyat mula-mula sekali menggubal Perkara 49A adalah agar tiada lagi lompatan katak oleh ahli-ahli politik yang akhirnya beralaskan atas nama Rakyat tetapi sebenarnya penipuan demi wang, kuasa, sokongan kepada PM (X atau lain-lain), jawatan, hendak lepas kes, DNAA, dan sebagainya.

7.Perbuatan menunjuk sokongan kepada sesiapa yang jelas bertentangan dengan arahan parti yang diwakili oleh mana-mana Ahli Dewan Rakyat adalah contoh sahih lompatan, dan wajib diperangkap oleh Perkara 49A.

8.Malaysia mengamal konsep demokrasi berparlimen berdasar sistem parti politik. Ini diwarisi dari British. Seorang Ahli Dewan Rakyat dipilih melalui pilihanraya kerana parti-nya bukan atas individu. Kerana itu kalau tanding sebagai Bebas dan menang tetapi lepas itu masuk parti ianya dikira lompat juga. ( Lihat lagi sekali Perkara 49A).

9. Apabila seseorang itu masuk sebagai ahli mana-mana parti politik dan kemudian dipilih sebagai wakil Rakyat hasil undi oleh Rakyat, dia mewakili rakyat melalui partinya. Dia harus ikut arahan parti. Logiknya mudah: rakyat memilih kerana parti yang diwakilinya bukan kapasitinya sendiri.

10. Speaker perlu baca juga petikan dari keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes berkaitan Undang-Undang Lompat Parti Pulau Pinang dimana Ketua Hakim Negara , Yang Amat Arif Tun Tengku Maimun bin Tuan Mat telah menyatakan :
"..Once he is in the House or State Legislature, the nature of his association takes on a different character in that it is no longer his personal right to associate but now governed by the ticket he stands on upon having been given the mandate by the electorate that entrusted him in that position..'

11. Keputusan di Mahkamah Persekutuan ini telah secara jelas meletakkan had kepada kebebasan berpersatuan kerana ianya satu yang penting dari segi moral. Mengapa? Sebab ia berkaitan prinsip, amanah, tanggungjawab dan berkata benar kepada pemilih, pengundi yang beratur tengah panas , berkerumun di pentas politik percaya pada ceramah yang ada logo, lambang parti.

12. Maka, sebenarnya pindaan yang membawa kepada Perkara 49A jelas memihak kepada parti bukan hak sesuka hati individu tersebut. Apatah lagi bilamana ia ada kaitan dengan pelbagai ugutan dan sogokan.

13. Pendeknya, keputusan Speaker jelas salah dari segi undang-undang dan harus dicabar di Mahkamah.

14. Jalan terbaik adalah memfail Semakan Kehakiman di Mahkamah Tinggi dan apabila dibantah oleh Jabatan Peguam Negara atas alasan keputusan Speaker muktamad kerana Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan , wajib bagi Perikatan Nasional atau Bersatu khususnya menggunapakai Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 ( Akta 91) untuk merujuk persoalan perlembagaan ini terus ke Mahkamah Persekutuan.

15. Dengan izin Speaker, anda khilaf dan wajib diperbetulkan...

Rafique Rashid
Ketua Penerangan Pejuang
10.07.2024

Address

Shah Alam

Telephone

+60122137007

Website

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Muhammad Rafique Rashid Ali posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Share