09/06/2022
Apakah itu Pornografi kanak-kanak dan apa tindakan ibubapa untuk menghindari bahaya tersebut?
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Episod 7.
Semenjak kebelakangan ini, isu amang seksual terhadap kanak-kanak dan kegiatan membuat pornografi kanak-kanak semakin berkembang pada paras membimbangkan terutama sekali di negara kita yang tercinta ini.
Sebagai ibu bapa, nescaya kita bimbang akan perkara ini, tidak kira sama ada anak-anak kita mungkin dilibatkan, atau melibatkan diri di dalam kancah perlakuan yang tidak sihat ini.
Pertama sekali, perlu kita fahamkan, apakah itu pornografi kanak-kanak? Merujuk kepada definisi di dalam Seksyen 4 Akta Keganasan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, pornografi kanak-kanak adalah bermaksud, mana-mana representasi, samada melalui rakaman visual video, rakaman visual pegun, mahupun rakaman audio atau gabungan daripadanya, yang berbentuk lucah atau membawa maksud lucah, adalah termaktub di bawah kategori dan definisi pornografi kanak-kanak. Perjelasan definisi ini lebih mendalam di dalam akta tersebut, cuma cukup sekadar saya olahkan disini, apa-apa sahaja yang membawa maksud lucah yang melibatkan kanak-kanak yang dirakamkan, akan termasuk di dalam definisi "Pornografi Kanak-kanak" tersebut.
Disini, s**a untuk saya nasihatkan, kepada ibu bapa, kakak abang, tuan puan, saya sendiri, supaya kita sentiasa memantau aktiviti seharian anak-anak kita. Lihat pada perubahan yang mungkin berlaku kepada mereka. Sentiasa pantau handphone atau tablet mereka sekiranya mereka menggunakan peranti-peranti tersebut. Ancaman si penyerang-penyerang seksual ini ada di mana-mana, waima di dalam rumah kita sendiri mungkin berlaku perkara tersebut. Biarlah anak mencebik muka kerana marahkan kita yang melanggar privasi mereka, daripada maruah anak dan keluarga kita dilanggar penyerang seksual ini p**a.
Banyak saya lihat pada ketika ini, anak diusia semuda bawah 10tahun sudah pandai bermain 'online games' yang semua orang mempunyai access, termasuk si penyerang seksual ini tadi. Bahayanya adalah, si penyerang seksual kanak-kanak ini boleh berada di dalam kalangan anak-anak kita, dan boleh menyerang pada bila-bila masa. Oleh itu, sentiasalah kita berwaspada, dan sentiasa mengambil berat aktiviti dan tindak tanduk anak-anak kita.
Sekiranya anda dapati atau mengesyaki anak-anak anda diserang secara seksual, tidak kira samada secara maya atau alami, segeralah buat laporan polis dan lindungi keluarga anda. Sekiranya anda tidak yakin atau tidak pasti bagaimana hendak membuat laporan polis tersebut, cari dan bawalah peguam bersama anda untuk membantu membuat laporan polis tersebut. Satu laporan polis mampu menyelamatkan maruah dan kehidupan anda sekeluarga, terutamanya anak-anak anda yang menjadi sasaran serangan seksual tersebut.
P/s: nasihat ini diberikan secara peribadi penulis berdasarkan pendapat peribadi penulis sahaja tanpa mengambil kira dan tanpa mengambil anggapan bahawa nasihat ini diberikan secara formal dan/atau tidak membawa maksud nasihat profesional daripada penulis.
P/s: nasihat ini juga tidak melibatkan mana-mana individu yang dikenali atau tidak dikenali penulis, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, dan juga tidak melibatkan mana-mana individu mahupun mana-mana institusi.
Yang benar,
Muhammad Zufar bin Elias
Peguambela & Peguamcara
Tetuan Zufar Elias & Co.