23/06/2026
MENGUKUHKAN KERJASAMA PERUNDANGAN SERANTAU DI JAKARTA
Dalam dunia perniagaan yang semakin merentasi sempadan, keupayaan sesebuah firma guaman bukan sahaja diukur melalui kepakaran undang-undang yang dimiliki, tetapi juga melalui kekuatan rangkaian profesional yang mampu memberikan sokongan strategik kepada pelanggan di pelbagai bidang kuasa.
Hari ini, delegasi Zahari Affendi & Partners (ZAP) yang diketuai oleh Managing Partner, En. Zahari Affendi Abdul Kadir, bersama Senior Associate, Cik Puan Iffah Jalilah serta Pengurus ZAP Kuala Lumpur (Seri Kembangan), Puan Siti Hafizah, berkesempatan mengadakan lawatan kerja ke pejabat Amir Hamzah & Rekan Law Office (AHR) di Jakarta, Indonesia.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuhkan hubungan strategik yang telah terjalin antara AHR dan ZAP sejak tahun 2019, selaras dengan komitmen kedua-dua firma dalam menyokong keperluan pelanggan yang mempunyai kepentingan komersial dan pelaburan di Malaysia serta Indonesia.
Perbincangan yang berlangsung menyentuh pelbagai perkembangan semasa dalam landskap perniagaan dan perundangan serantau, termasuk peluang memperluaskan kerjasama rentas sempadan, pertukaran kepakaran profesional serta pengukuhan sokongan kepada pelanggan yang beroperasi dalam ekosistem ASEAN yang semakin dinamik.
Sebagai simbol penghargaan terhadap hubungan profesional yang telah dibina selama ini, ZAP turut berbesar hati menyampaikan cenderamata khas kepada Amir Hamzah & Rekan sebagai tanda penghormatan terhadap kerjasama, kepercayaan dan sokongan yang telah terjalin antara kedua-dua firma.
Di ZAP, kami percaya bahawa nilai sebenar sebuah firma guaman terletak pada keupayaannya menjadi trusted counsel yang bukan sahaja memberikan penyelesaian undang-undang yang berkesan, tetapi juga menghubungkan pelanggan kepada rangkaian strategik yang mampu membuka peluang baharu merentasi sempadan negara.
Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pak Amir Hamzah dan seluruh pasukan Amir Hamzah & Rekan Law Office atas layanan yang begitu baik serta komitmen berterusan dalam memperkukuhkan hubungan profesional antara Jakarta dan Kuala Lumpur.
ZAHARI AFFENDI & PARTNERS
Trusted Counsel. Regional Perspective. Enduring Relationships.