17/04/2023
Kalau dah menang saman tapi Defendan enggan bayar jumlah saman, apa perlu buat? (Bahagian 4)
Wri Penyitaan dan Penjualan (WSS)
Pernah dengar tak kalau kalah saman, rumah boleh kena sita?
Sebenarnya bukan rumah yang boleh disita, tetapi harta-harta alih Defendan tu yang boleh disita.
Apa itu harta alih? Harta alih ni harta yang boleh dialihkan seperti TV, sofa atau lebih mudah maksudnya barang-barang yang ada dalam rumah.
WSS ini adalah prosiding yang dimulakan oleh Plaintif (Pemiutang Penghakiman) dengan memfailkan Notis Permohonan dan Afidavit Sokongan secara ex-parte (Defendan tidak akan tahu pun yang WSS ni difailkan) kepada Mahkamah. Dalam Afidavit Sokongan tu kita kena maklumkan premis Defendan yang mana kita nak pergi sita (contoh alamat rumah).
Bila dah dapat perintah daripada Mahkamah, pihak peguam akan hubungi bailif Mahkamah. Masa tu peguam dan bailif akan pergi ke alamat premis Defendan untuk membuat sitaan. Masa ni Defendan baru tahu yang ada penyitaan akan berlaku pada barang-barang dalam premisnya.
Kalau Defendan enggan beri kerjasama dan/atau tidak ada orang di premis Defendan, peguam perlu dapatkan satu (1) lagi perintah dari Mahkamah untuk pecah masuk ke dalam premis Defendan supaya perintah WSS dapat dilaksanakan.
Jadi, apa akan berlaku bila dah dapat masuk rumah Defendan?
Bailif akan buat penandaan pada barang-barang dalam rumah yang ingin di sita. Lepas dah buat penandaan pada barang-barang tu, kalau ada modal lebih, boleh upah pengawal keselamatan untuk jaga barang-barang tu bagi mengelakkan Defendan keluarkan barang-barang tersebut sebelum proses lelongan. Lelongan kebiasaannya akan berlaku selepas 14 hari daripada tarikh penandaan barang-barang tersebut. Sebab tu perlukan pengawal keselamatan sebab ada banyak masa untuk Defendan keluarkan barang-barang dia.
Hasil lelongan barang-barang Defendan tu yang akan digunakan untuk membayar jumlah saman yang Plaintif menang.
Sekiranya jumlah hasil lelongan tak mencukupi, Plaintif perlu buat prosiding pelaksanaan yang lain untuk mencukupkan jumlah yang telah dimenanginya.
p/s Sebenarnya prosesnya tida semudah yang ditulis di sini. Prosesnya memakan masa dan hasilnya mungkin tidak berbaloi. Tambahan, akan ada "drama" daripada Defendan. Ye lah kan, siapa tak mengamuk orang nak sita barang-barang dia. Tapi, dia pun hutang orang tak nak bayar siapa suruh kan? 🤣