18/09/2021
Adakah pemilik tanah memiliki tanah sehingga ke kerak bumi mengikut undang-undang Malaysia?
SIAPA PEMILIK TANAH DI BAWAH PERMUKAAN TANAH ANDA?
Tahukah anda bahawa jika anda membeli sebidang tanah, anda secara rasminya mempunyai hak terhadap permukaan, ruang udara dan tanah bawah tanah (underground land) tersebut, tetapi sedalam manakah bahagian bawah tanah itu menjadi milik anda? Adakah ianya milik anda sampai ke teras bumi? Bolehkah anda membina binaan di bahagian underground tanah anda? Atau bolehkah pihak berkuasa membina terowong atau binaan lain di bahagian bawah tanah anda?
Berdasarkan Seksyen 44 (1) (a) Kanun Tanah Negara, pemilikan anda terhadap tanah tersebut dari permukaan tanah, ruang udara dan bahagian bawah tanah adalah dijamin dan anda mempunyai hak eksklusif untuk menggunakan tanah anda itu setakat "as is reasonably necessary to the lawful use and enjoyment of the land" (sebagaimana yang diperlukan untuk penggunaan dan penguasaan tanah yang sah) sahaja.
Perkataan "reasonably necessary" di Seksyen 44 (1) (a) tersebut, seolah-olah, ia menghadkan pemilikan anda.
Ia juga seolah-olah bermaksud, sebagai pemilik tanah, hak dari permukaan tanah sehingga ke teras bumi seperti yang dinyatakan di dalam maxim " cuiusest solum eius est usque ad caelum ad inferos" ( whoever owns land it is theirs up to the heavens and down to hell ) tidak terpakai di sini.
Jadi, sedalam mana pemilikan anda sebagai pemilik tanah?
Berdasarkan Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Bil.1/2008, melalui "Guideline for Underground Land Disposal Under The National Land Code 1965 ( Panduan Pelaksanaan Pelupusan Tanah Bawah Tanah Di Bawah Kanun Tanah Negara 1965 ) bertarikh 1hb Januari 2010, ia menyatakan:
Kedalaman minimum untuk tanah di bawah permukaan yang dimiliki oleh pemilik tanah permukaan (surface land owner) adalah berdasarkan kategori tanah:
a) 6 meters (Tanah Kategori Pertanian)
b) 10 meters (Tanah Kategori Bangunan)
c) 15 meters (Tanah Kategori Industri)
Walaubagaimanapun, pemilik tanah sedia ada tidak perlu bimbang apa-apa kerana pekeliling ini TIDAK TERPAKAI untuk tanah-tanah yang telah diberi milik sebelum 8hb Disember 2017 (selaras dengan Pemberimilikan Tanah Permukaan Di Bawah Seksyen 92B(1)(a) [P.U. (A) 377] bertarikh 7 Disember 2017 Peraturan-peraturan KTN (Tanah Bawah Tanah) (Kedalaman Minimum) 2017 ]) .
Jadi tidak perlu bimbang sekiranya di dalam geran tanah anda tidak dinyatakan limitasi had kedalaman tanah anda, maka berdasarkan Seksyen 44 (1) (a), anda masih lagi pemilik tanah bawah tanah anda tanpa had. Jika geran stratum (geran tanah bawah tanah) ingin dikeluarkan di bawah tanah milik anda, hanya anda sebagai pemilik sahaja yang layak memohonnya.
Walaupun Malaysia masih belum kritikal penggunaan tanah permukaannya sehingga memerlukan pembinaan di bawah tanah, tetapi kemajuan dan kepesatan kawasan bandar seperti pembinaan terowong bawah tanah untuk jalanraya dan keretapi, pembinaan laluan paip, memerlukan tanah di bawah permukaan diteroka dan pada waktu itu, sekiranya persoalan ini timbul di kalangan pemilik tanah yang terlibat, sekurang-kurangnya jawapan asasnya telah ada di sini. 🙂
Kredit Gambar : archdaily.com