26/11/2020
PENYELESAIAN MASALAH DERAAN EMOSI DALAM RUMAHTANGGA
1. Mendapatkan Nasihat Unit Runding Cara Keluarga
Isteri yang mengalami tekanan mental boleh mendapatkan khidmat nasihat atau rundingan bersama pakar perunding yang berkemahiran dalam ilmu perkahwinan dan kekeluargaan di Unit Runding Cara Keluarga di jabatan agama Islam. Keperluan proses runding cara sangat penting bagi membantu pasangan yang bermasalah ini supaya dapat mencari kaedah penyelesaian yang terbaik menyelesaikan krisis atau konflik dalam perkahwinan.
2. Konsultasi Bersama Pakar Psikiatri/Psikologi
Mendapatkan sesi kaunseling bersama pakar psikiatri bagi menentukan tahap depression atau tekanan mental yang dihadapi oleh isteri. Laporan perubatan daripada pakar psikiatri ini boleh menjadi bukti di mahkamah sebagai keterangan pakar atau dokumen bertulis mengenai tahap tekanan yang dihadapi bagi meneruskan tindakan bagi tujuan penyelesaian menurut undang-undang contohnya melalui tuntutan fasakh. Ini kerana, dalam kes-kes tuntutan fasakh pembuktian sangat penting bagi membuktikan tuntutan tersebut.
3. Permohonan Cerai Seksyen 47
Permohonan perceraian secara baik dengan syarat mendapat persetujuan daripada kedua pihak suami dan isteri. Berdasarkan peruntukan dalam seksyen 47 enakmen undang-undang keluarga Islam di negeri-negeri di Malaysia. Walau bagaimanapun, dalam kes permohonan cerai di bawah seksyen 47, suami perlu memberi persetujuan untuk bercerai sebelum dibenarkan oleh hakim syarie untuk menjatuhkan talak kepada isterinya. Masalahnya adalah dalam kes-kes yang melibatkan tekanan mental atau emosi ini, kebiasaannya suami enggan menceraikan isterinya secara baik di Mahkamah Syariah. Sekiranya berlaku keengganan di pihak suami, mahkamah boleh melantik Jawatankuasa Pendamai (seksyen 47(5)) atau Hakam (seksyen 48) bagi mencari jalan penyelesaian antara mereka dan ia akan mengambil masa yang lebih lama.
4. Tuntutan Fasakh
Isteri yang menghadapi tekanan mental dan tidak mahu meneruskan perkahwinan tersebut boleh mengemukakan tuntutan fasakh dengan menggunakan satu alasan tunggal mengenai tekanan yang dihadapinya ataupun kombinasi alasan-alasan lain yang dibenarkan dalam peruntukan fasakh. Di Selangor, isteri tersebut boleh menggunakan alasan di bawah seksyen 53 (1)(h) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 (EUKIS 2003) merujuk kepada alasan suami menganiaya isteri dengan cara lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya. Peruntukan seksyen ini adalah relevan dengan maksud darar syarie yang telah disebutkan sebelum ini.
Oleh itu, saranan kepada kaum wanita sekiranya anda mengalami deraan emosi di dalam perkahwinan jangan berdiam diri dan kongsi masalah anda dengan orang-orang yang anda percayai. Dapatkan bantuan secepat mungkin sebelum menjadi parah. Penderaan emosi ini lebih bahaya daripada penderaan fizikal jika tidak ditangani lebih awal.