01/02/2026
Bahasa Kasar, Punca Retaknya Rumah Tangga
Ramai suami merasakan perkataan kasar hanyalah perkara biasa. Ada yang anggap sebab loghat negeri atau daerah yang sudah terbiasa dari kecil. Penuh dengan perkataan mencarut dan makian itu katanya biasa.
“Bukan nak marah pun, gurau je…”
“Tersasul mulut, biasalah…”
“Dah terbiasa macam ni sebab asal Utara kan…”
Sebenarnya, tak juga kalau nak cakap orang utara cakap kasar dan mesti ada mencarut. Banyak saja yang saya jumpa orang kampung atau bandar di Utara yang tak kasar.
Ada juga yang kata negeri lain pun ada jenis gurau kasar macam orang Melaka. Tapi, saya pun ada kawan orang Melaka. Tak macam tu pun.
Termasuk orang Terengganu yang katanya selalu terbiasa dengan ‘Natang’, tapi kawan-kawan yang saya kenali tak macam tu pun. Entahlah, mungkin saya jumpa tu orang yang sentiasa bahasa tutur katanya baik kot.
Namun, bagi seorang isteri — kata-kata itu boleh menjadi luka yang lama sembuhnya. Bila setiap hari telinga disumbat dengan herdikan, hinaan, atau bahasa kesat, lama-kelamaan hati jadi penat dan jiwa jadi tertekan.
💔 Dalam rumah tangga, bukan sahaja tangan yang boleh menyakitkan, tetapi lidah juga boleh meruntuhkan kasih sayang.
✅ Kisah Benar di Mahkamah Syariah
Ada satu kes yang pernah saya kendalikan di Mahkamah Syariah.
Seorang isteri akhirnya menuntut cerai kerana tidak tahan lagi dengan mulut suaminya.
Menurut keterangan, suaminya jarang sekali mengasari secara fizikal. Tetapi hampir setiap hari, isterinya dipanggil dengan gelaran yang menjatuhkan maruah. Katanya “bodoh”, “tak guna”, malah ada kalanya sampai mencarut.
Bagi suami, itu hanya sekadar ‘bahasa kampung’ atau kebiasaan dalam hidupnya. Tapi bagi si isteri yang seorang wanita bekerjaya, setiap kata-kata itu umpama racun yang mematikan jiwa. Dia rasa dirinya tidak dihormati, tidak dihargai, dan semakin lama hidupnya penuh tekanan.
Akhirnya, Mahkamah meluluskan perceraian tersebut dengan sabitan Syiqaq hinggalah perceraian melalui Hakam kerana terbukti kata-kata kasar itu menjadi punca pergaduhan berpanjangan, hingga menjejaskan kesihatan emosi si isteri.
✅ Pengajaran
🔹 Suami mungkin rasa itu hanya ‘biasa’.
🔹 Tapi bagi seorang isteri, itu boleh jadi punca keruntuhan rumah tangga.
🔹 Lidah tidak bertulang, tetapi kesannya boleh lebih parah daripada pukulan.
Rumah tangga yang harmoni bukan sekadar cukup nafkah dan makan pakai. Tetapi juga hadir dengan tutur kata yang lembut, penuh hormat, dan kasih sayang.
🌸 Kata-kata yang baik itu doa.
🌸 Kata-kata yang kasar p**a boleh jadi racun yang merosakkan.
👉 Jadi, jagalah lidah kita. Jangan sampai kerana mulut yang tak dijaga, rumah tangga yang dibina dengan cinta akhirnya hancur begitu sahaja.
Fahmi Ramli
Peguam Syarie
Anda ada pertanyaan? Boleh tanya disini
wasap.my/60197372389/NakTanyaSikit