K-Literasi

K-Literasi Contact information, map and directions, contact form, opening hours, services, ratings, photos, videos and announcements from K-Literasi, Legal Service, 29-2 Jalan 3/4C, Desa Melawati, Kuala Lumpur.

K-LITERASI adalah sebuah NGO yang ditubuhkan untuk memberi kesedaran undang-undang kepada masyarakat khususnya berkaitan isu-isu semasa yang melibatkan kepentingan rakyat.

Betul ke poligami di Malaysia susah? Nikah di negara jiran lebih mudah? Betul ke nak poligami kena dapat kebenaran ister...
12/01/2023

Betul ke poligami di Malaysia susah? Nikah di negara jiran lebih mudah? Betul ke nak poligami kena dapat kebenaran isteri pertama?

Pelbagai persoalan timbul dalam fikiran anda? Namun bagaimanakah sebenarnya proses dan prosidur poligami di Malaysia ni?

Anda nak tahu?

K-Literasi dengan ini membawakan Forum K-Literasi Isu Semasa (FOKUS) dengan tajuk *Kelat-Kelat Madu* yang akan membincangkan isu-isu poligami terutama dari sudut perundangan Malaysia.

FOKUS kali ini akan membariskan Peguam Syarie dan Pengamal Poligami Tuan Muhammad Nur Hafiz Bin Roslan dan Peguam Syarie Raja Haziq bersama moderator Tuan Khalilullah yang juga seorang Peguam Syarie pada hari *Jumaat 13/1/2023* jam *9.00 malam* di FB Live K-Literasi.

Jumpa anda di sana!


31/12/2022
18/12/2022

Penarikan balik hibah sebelum penerimaan harta hibah (qabd)

Ahli-ahli fekah (fuqaha’) berselisih pendapat tentang hukum penarikan balik hibah sebelum penerimaan harta hibah (qabd) iaitu;

i. Mazhab Hanafi, Syafie, Imamiyyah, Zaydiyyah dan satu riwayat daripada mazhab Hanbali mengharuskan penarikan balik hibah sebelum penerimaan harta hibah (qabd) oleh penerima hibah.

Mereka berhujah berdasarkan keputusan sebulat suara (ijmak) para sahabat Rasulullah s.a.w. yang mengharuskan penarikan balik hibah sebelum penerimaan harta hibah (qabd) oleh penerima hibah, dan ia dikuatkan lagi dengan hujah-hujah yang telah dikemukakan sebelum ini dalam masalah keperluan penerimaan harta hibah (qabd) dalam akad hibah.

ii. Mazhab Maliki dan Zahiri tidak mengharuskan penarikan balik hibah sebelum penerimaan harta hibah (qabd) oleh penerima hibah.

Mereka berhujah berdasarkan firman Allah s.w.t.:

“Wahai orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian- perjanjian...”

Akad hibah berkuatkuasa dengan lafaz ijab dan kabul dari pemberi dan penerima sehingga memberi kesan kewajipan menunaikan janji yang telah diakad tanpa perlu kepada penerimaan harta hibah (qabd).

Mereka juga berhujah dengan logik akal dengan mengatakan bahawa akad hibah adalah seperti akad-akad lain yang tidak perlu kepada penerimaan harta (qabd) sebagai syarat sah sesuatu akad.

iii. Mazhab Hanbali daripada riwayat yang lain mengharuskan penarikan balik hibah sebelum penerimaan harta hibah (qabd) sekiranya barang yang dihibahkan itu berbentuk barang yang disukat atau ditimbang. Namun sekiranya barang yang dihibah itu tidak boleh disukat atau ditimbang, tidak harus menarik balik hibah tersebut sebelum berlakunya penerimaan harta hibah (qabd).

AHMAD TERMIZI BIN ABDULLAH

Send a message to learn more

16/12/2022

SYARAT SAH PENERIMAAN HARTA HIBAH (QABD)

Menurut jumhur fuqaha, penerimaan harta hibah (qabd) sah sekiranya memenuhi syarat-syarat berikut:

i. Mendapat keizinan dan kebenaran pemberi hibah. Pemberi hibah mempunyai pilihan sebelum barang yang dihibahkan itu diterima (qabd) oleh penerima hibah sama ada mengizinkannya untuk diterima (qabd) atau menarik balik hibah dan menghalangnya daripada diterima (qabd) oleh penerima. Keizinan tersebut tidak hanya sah dengan lafaz izin sahaja bahkan ia juga sah dengan perbuatan yang menunjukkan tanda keizinan sama ada dengan kehadiran pemberi hibah atau sebaliknya.

Menurut satu riwayat daripada Imam Abu Hanifah, sah penerimaan harta hibah (qabd) ketika majlis akad walaupun tidak mendapat keizinan pemberi hibah kerana akad hibah itu sendiri merupakan satu bentuk keizinan untuk penerimaan harta (qabd) dan ia menjadi bukti redha pemberi hibah ke atas pernimaan harta (qabd) oleh penerima hibah.

Manakala menurut mazhab Syafie dan Hanbali, tidak sah penerimaan harta hibah (qabd) tanpa izin pemberi hibah sama ada ketika atau selepas majlis akad kerana akad hibah bukanlah satu bentuk keizinan untuk qabd bahkan perlu kepada keizinan daripada pemberi hibah untuk menyerahkan harta yang dihibahkan. Sekiranya pemberi hibah telah memberi izin penerimaan harta (qabd) kepada penerima, kemudian dia menarik balik keizinan tersebut atau menarik balik hibah sebelum berlaku penerimaan harta hibah (qabd), sah penarikan balik tersebut. Namun penarikan balik tersebut tidak sah jika ia berlaku selepas penerimaan harta hibah (qabd) oleh penerima hibah.

Mazhab Syafie mensyaratkan keizinan yang diberikan hendaklah secara jelas atau pemberi hibah sendiri menyerahkan dengan tangannya kepada penerima. Namun mazhab Maliki tidak mensyaratkan keizinan pemberi hibah sebagai syarat sah qabd.

ii. Harta yang dihibahkan tidak bercampur atau tidak berkait dengan harta lain yang tidak dihibah. Ini kerana, penerimaan harta hibah (qabd) bermaksud membolehkan penerima hibah berinteraksi (tasarruf) dengan harta yang dihibah tanpa ada sesuatu yang boleh menghalangnya. Sebagai contoh, seseorang menghibahkan sebuah rumah yang di dalamnya terdapat perkakas atau perhiasan milik pemberi hibah. Pemberi hibah menyerahkan rumah tersebut tanpa mengosongkannya terlebih dahulu. Penerimaan harta hibah (qabd) dalam keadaan begini adalah tidak sah kerana mengosongkan (takhliah) rumah tersebut daripada perhiasan milik pemberi hibah ialah syarat sah penerimaan barang yang dihibahkan.

iii. Penerima hibah berkeahlian untuk menerima milik harta iaitu baligh dan berakal. Oleh itu tidak sah penerimaan harta hibah (qabd) daripada seseorang yang gila atau kurang akalnya dan daripada kanak-kanak yang belum baligh walaupun telah mumayyiz menurut pendapat jumhur fuqaha’ kecuali mazhab Hanafi. Mereka berhujah dengan kaedah analogi (qiyas) kerana penerimaan harta hibah (qabd) termasuk dalam masalah kelayakan (wilayah). Kanak-kanak yang belum baligh tidak mempunyai kuasa untuk mentadbir dirinya sendiri begitu juga dia tidak mempunyai kuasa untuk menerima (qabd) harta yang dihibahkan kepadanya. Bapa atau wali mereka yang dilantik oleh pihak berkuasa akan mewakili mereka untuk menerima dan mengambil milik harta yang dihibah.

Manakala mazhab Hanafi tidak mensyaratkan baligh sebagai syarat sah penerimaan harta hibah (qabd). Kanak-kanak yang telah mumayyiz dan berakal boleh menerima milik harta yang dihibahkan kepadanya tanpa perlu diwakilkan kepada walinya. Mereka berhujah berdasarkan kaedah istihsan (ekuiti) kerana menerima milik harta yang dihibahkan (qabd) adalah salah satu daripada perbuatan atau tindakan yang semata- mata memberi manfaat keapada penerima hibah.

AHMAD TERMIZI ABDULLAH

14/12/2022

KONSEP HIBAH

1. Mazhab Syafie dan Hambali melihat transaksi hibah seumpama transaksi jual beli. Apa yang membezakan antara hibah dengan jual beli hanyalah dari aspek balasan (consideration) sahaja.

2. Hibah adalah pemberian dari seorang individu kepada seorang individu yang lain tanpa apa-apa balasan material. Pemberian hibah adalah berdasarkan kasih sayang semata-mata. Jadi, apabila berlakunya hibah, segala elemen jual beli juga perlu wujud dalam transaksi hibah. Ringkasnya, elemen ijab kabul, qabd (penyerahan harta hibah / penguasaan harta hibah / penerimaan harta hibah), dan tasarruf (kebebasan menggunakan harta hibah / kekuasaan untuk rentah harta hibah / kebebasan untuk membuat transaksi dengan pihak ketiga daripada harta hibah) adalah elemen penting dalam menentukan kesahihan hibah dalam mazhab Syafie.

3. Berlainan halnya dalam mazhab Maliki, dan Hanafi. Mazhab Maliki melihat hibah sebagai satu perbuatan tabarru’ (seperti sedekah atau derma) tanpa perlu menentukan siapakah yang akan menerima secara khusus harta yang dihibahkan, bilakah harta hibah akan diterima oleh penerima hibah, dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, elemen ijab kabul, penerimaan harta hibah (qabd), dan kebebasan berinteraksi dengan harta hibah (tasarruf) bukanlah satu kemestian yang perlu wujud secara serentak atau bersambung semasa akad hibah dalam mazhab Maliki.

4. Atas perbezaan konsep inilah, maka terhasillah pola pemikiran yang berbeza antara mazhab Syafie, dan mazhab Maliki dalam penentuan kesahihan hibah termasuk dalam isu hibah bersyarat.

5. Sebagai contohnya, dalam isu hibah keuntungan yang belum diperolehi dalam jual beli saham adalah sah mengikut mazhab Maliki, tetapi tidak sah mengikut mazhab Syafie.

6. Berdasarkan hal ini jugalah, hibah takaful dibenarkan adalah berasaskan mazhab Hanafi, bukan berasaskan mazhab Syafie.

7. Manakala hibah hartanah, hibah amanah, yang diamalkan di negara kita kebanyakannya mengikut mazhab Syafie.

8. Perkara sebegini boleh diamalkan kerana hibah takaful sudah diwartakan sebagai undang-undang bertulis dalam Jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. Manakala hibah-hibah yang lain belum jelas secara statut kerana belum digazetkan undang-undang hibah secara bertulis, kecuali di Kelantan baru sahaja diluluskan pada peringkat Dewan Undangan Negeri tetapi belum diwartakan.

9. Kita masih menunggu pemimpin-pemimpin kita bekerja secara bersungguh dalam hal ini.

Wallahu a’lam.

AHMAD TERMIZI ABDULLAH

Send a message to learn more

20/04/2022

Membela pesalah di mahkamah?

Pendahuluan

Isu membela seseorang yang melakukan kesalahan memang selalu ditimbulkan. Ramai yang beranggapan bahawa kerjaya seorang peguam adalah kerjaya yang terdedah kepada penipuan kerana seorang peguam akan sanggup berhujah apa sahaja termasuk menipu demi melepaskan anak guamnya daripada kesalahan (terutamanya kesalahan jenayah).

Walau bagaimanapun, ada p**a beberapa pendapat yang mengatakan bahawa seorang itu tetap tidak bersalah sehinggalah dia didapati bersalah. Tambahan p**a, kita tidak boleh terus menghukum seseorang itu bersalah berdasarkan pengakuannya sahaja sedangkan kita belum meneliti fakta kes dari semua aspek yang lain.

Adakah benar seorang peguam muslim yang beretika boleh membela semua anak guam mereka walaupun mereka itu telah melakukan jenayah. Apakah pendirian sebenar yang perlu diamalkan oleh seorang peguam muslim supaya tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah s.w.t. dalam surah al-An`am ayat 68 dan dalam masa yang sama tetap terus memperjuangkan kaedah perundangan (maxim) bahawa seseorang itu tetap tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bahawa dia bersalah.

Pengakuan Bersalah

Isu pertama yang perlu kita fahami ialah tentang isu pengakuan bersalah daripada seorang klien. Apabila seorang klien telah mengaku bersalah, adakah pengakuan bersalahnya itu boleh terus diterima bahawa dia telah melakukan kesalahan seperti yang diakuinya itu. Adakah perlu seorang peguam itu terus meninggalkan klien tersebut atas alasan tidak mahu bersekongkol untuk membela penjenayah?

Perlu kita fahami bahawa pengakuan bersalah tidak semestinya bermaksud klien tersebut telah melakukan kesalahan sebagaimana yang diikrarkannya itu. Perlu disiasat terlebih dahulu tentang pengakuan tersebut untuk memastikan bahawa klien tersebut benar-benar memahami pengakuan dan kesan pengakuannya itu.

Sebab itulah jika kita lihat sebagai contohnya, Nabi Muhammad s.a.w. telah menolak pengakuan Ma`iz bin Malik yang mengaku berzina sehinggalah pengakuan tersebut dibuat sebanyak empat kali. Selepas itu, barulah baginda Nabi s.a.w. meneruskan siasatan terhadap Ma`iz dengan memastikan bahawa Ma`iz waras dan siuman semasa pengakuan tersebut dibuat. Dan hanya setelah itulah penghakiman ke atasnya dibuat.

Ini bermaksud bahawa pengakuan per se (sahaja) tidak mencukupi untuk meyakini bahawa seseorang itu bersalah dan tidak layak untuk dibantu atau dibela.

Seseorang Tidak Bersalah Sehinggalah Dibuktikan Bersalah

Oleh hal yang demikian, timbullah kaedah perundangan (legal maxim) iaitu asal seseorang itu adalah terpelihara daripada tanggunggan. Bermaksud bahawa seseorang itu adalah tidak bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah.

Beban Pembuktian Terletak Keatas Pendakwa

Secara umumnya, tanggungjawab untuk membuktikan bahawa seseorang itu bersalah adalah terletak di bahu pendakwa berdasarkan maksud hadis Nabi s.a.w. bahawa keterangan pembuktian adalah dibebankan ke atas pendakwa dan sumpah penafian ke atas tertuduh sekiranya pendakwa gagal membawa keterangan yang mencukupi untuk mensabitkan kesalahan terhadap tertuduh.

Menyembunyikan Fakta

Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa seseorang peguam adalah dilarang untuk menyembunyikan fakta dan keterangan yang diperolehi hasil siasatan dan pengamatannya bagi membela anak guamnya itu. Pastinya agak sukar bagi seseorang peguam untuk mendedahkan keterangan yang tidak menyebelahi anak guamnya demi kebaikan anak guamnya. Inilah yang selalunya berlaku.

Allah s.w.t. mengharamkan seorang saksi enggan menjadi saksi dalam pembelaan keadilan sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Baqarah ayat 282 yang bermaksud:

“Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil.”

Jadi, jika seseorang peguambela itu berusaha untuk menyembunyikan keterangan yang benar bagi mengelakkan anak guamnya disabitkan kesalahan bolehlah dikatakan berlaku zalim.

Mungkin ada yang berhujah bahawa tugas untuk menentukan sama ada seseorang tertuduh itu bersalah atau tidak adalah tugas hakim. Tetapi, cuba bayangkan mana mungkin seseorang hakim akan mampu untuk menjatuhkan hukuman yang adil jika peguambela itu sendiri pada peringkat awalnya tidak membantu mahkamah untuk mendedahkan fakta sebenar sesuatu kes. Pada masa tersebut, tanggungjawab untuk mendedahkan kebenaran adalah terletak pada bahu peguambela.

Menegakkan Keadilan

Perlu difahami dengan jelas maksud sebuah hadis Nabi s.a.w. seperti di bawah:

“Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk aku selesaikan, dan mungkin sebahagian kamu lebih cekap berhujah dari sebahagian yang lain, maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang aku dengar sahaja. Barangsiapa yang telah aku jatuhkan hukuman dan hukuman itu mengambil hak orang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujah), maka janganlah kamu mengambilnya. Sesungguhnya itu akan menjadi sepotong daripada api neraka.” (Riwayat Abu Daud, Tirmizi, dan lain-lain).

Amat jelas dalam hadis ini bahawa tindakan seorang peguam berhujah membantu seorang pesalah adalah salah di sisi Islam dan dikira melayakkan dirinya untuk dibakar oleh sepotong api neraka.

Hadis di atas telah jelas membawa satu prinsip iaitu kita sama sekali tidak boleh menyebelahi mereka yang salah walau atas nama profesion, kaum, parti, keluarga, dan sebagainya. Hal ini adalah jelas dengan antara lainnya dalil-dalil yang berikut:

Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Maidah ayat 8 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Rasulullah s.a.w. juga ada menegaskan tentang prinsip keadilan tanpa mengira bangsa, kaum, dan keluarga sebagaimana hadis berikut:

“Sesungguhnya kaum sebelum kamu menjadi hancur disebabkan apabila mereka yang berkedudukan mencuri, mereka melepaskannya, tetapi jika orang biasa (lemah kedudukannya) mencuri dijatuhkan hukuman ke atasnya. Demi Allah sekiranya Fatimah Binti Muhammad mencuri, nescaya akan ku potong tangannya (menjatuhkan hukuman sebagaimana yang lain). (Riwayat al-Bukhari).

Penutup

Kesimp**annya, memanglah seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah. Dan pengakuan daripada seorang klien tidak boleh terus diterima. Seorang peguam yang beretika hendaklah terlebih dahulu menyiasat fakta kes secara terperinci dan seadil-adilnya. Kepercayaan kepada klien hendaklah diberi 100% dalam hal ini. Tanggugjawab lain untuk mencari bukti atau keterangan bagi mendakwa klien tersebut memang terletak atas bahu pendakwa.

Walau bagaimanapun, sekiranya setelah siasatan dibuat oleh seseorang peguam, dia hendaklah berlaku adil dengan tidak menyembunyikan fakta yang benar yang telah dia perolehi. Ini adalah kerana tanggungjawab asal seorang peguam ialah bagi membantu mahkamah mencapai keadilan dalam memutuskan hukuman. Mana mungkin seorang hakim dapat memutuskan hukum secara adil jika peguam itu sendiri yang menyembunyikan kebenaran atas nama profession atau hubungan istimewa antara peguam dan klien.

Berlaku adil adalah tujuan utama dalam sesuatu tindakan. Demi keadilan anak guam itu sendiri, dia hendaklah dihukum seadilnya bagi menghapuskan dosanya di dunia ini supaya dia juga terlepas hukuman di akhirat. Konsep menasihati klien supaya insaf dan bertaubat juga penting bagi seorang peguam muslim yang beretika. Memohon mitigasi adalah tidak salah asalkan tiada fakta yang disembunyikan dan ini pastinya amat membantu mahkamah untuk menjatuhkan hukuman yang adil bagi semua pihak-pihak yang terlibat. Menegakkan keadilan inilah tugas sebenar seorang peguam yang beretika yang sepatutnya dihormati dan disanjungi oleh masyarakat awam sekeliling.

Wallahua’lam.

AHMAD TERMIZI ABDULLAH
PRESIDEN
K-Literasi

08/02/2022

BEZA GADAIAN DENGAN CAGARAN

1. Konsep gadaian yang berasal dari Sistem Torrens Australia adalah sama sekali berbeza dengan konsep cagaran yang diguna pakai dalam Sistem Pendaftaran Tanah di England. Di England, apabila sesuatu pinjaman Bank dibuat, maka harta itu akan dicagarkan (mortgage) kepada Bank yang mana nama Bank akan didaftarkan sebagai pemilik berdaftar bagi hartanah tersebut.

2. Di Malaysia, konsep yang diguna pakai adalah konsep gadaian. Gadaian adalah amat berbeza dengan cagaran memandangkan nama pemilik hartanah tersebut kekal berada dalam suratan hak milik hartanah tersebut.

3. Perbezaan antara konsep cagaran dan/atau gadai janji Inggeris dengan gadaian dalam Kanun Tanah Negara (KTN) telah dihuraikan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Perwira Habib Bank Malaysia Berhad lwn Lum Choon Realty Sdn. Bhd. bahawa di England undang-undang tanah tidak berdasarkan kepada Sistem Torrens. Konsep cagaran Inggeris tidaklah konsisten dengan Sistem Torrens. Ini adalah kerana dalam cagaran, hak milik berpindah kepada pemegang cagaran yang juga pemberi pinjaman, manakala gadaian yang didaftarkan di bawah Kanun Tanah Negara hanya membentuk satu kepentingan sah dalam tanah.

4. Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam kes Talam Corp Bhd dan Anor lwn Bangkok Bank Bhd dan Anor telah memetik padangan Hakim Peh Swee Chin dalam kes Bank Bumiputra Malaysia Bhd lwn Doric Development Sdn. Bhd. dan Ors di mana Mahkamah menyatakan yang bermaksud:

Pertama sekali, premis bahawa gadaian dalam Kanun Tanah Negara (KTN) adalah sama dengan konsep cagaran Inggeris adalah secara jelasnya merupakan satu kesilapan. Konsep gadaian adalah ditadbir secara undang-undang dalam Kanun Tanah Negara (KTN), manakala ini adalah berbeza sama sekali dengan konsep cagaran Inggeris. Perbincangan secara mendalam berkenaan konsep gadaian dan cagaran Inggeris cukup sekadar dengan menyebut satu atau dua perbezaan antara keduanya. Dalam konsep cagaran Inggeris, aset yang dicagarkan akan ditukar nama kepada nama pemegang cagaran (pemberi pinjaman) apabila cagaran diciptakan/dibuat, bersama-sama dengan satu klausa berkenaan penebusan semula aset tersebut. Di bawah klausa tersebut, pemegang cagaran (pemberi pinjaman) bersetuju untuk menukar semula pindahmilik aset yang telah dicagar pada sebelum tarikh tertentu, dan apabila telah melebihi tarikh tertentu yang tersebut, aset yang telah dicagar tidak boleh ditebus semula. Berkenaan ini, ekuiti telah menyediakan ekuiti penebusan semula di mana hak penebusan semula telah dilanjutkan tempohnya dan hanya akan terbatal atas sebab lelong atau jual beli.

5. Teo Keang Sood dan Dr. Khaw Lake Tee dalam bukunya, Land Law in Malaysia menyatakan bahawa gadaian di bawah KTN adalah berbeza dengan konsep cagaran Inggeris di mana pemegang gadai janji (pemberi pinjaman) telah menciptakan hanya kepentingan sah dalam aset tersebut bersama-sama dengan hak undang-undang untuk melindungi kepentingannya dengan cara menjual aset tersebut atau mengambil milikan tanah tersebut hanya jika ada berlaku perlanggaran / pecahan janji di mana milikan tanah tersebut pada setiap masa masih kekal didaftarkan di bawah nama penggadai. Manakala, bagi konsep cagaran Inggeris, milikan tanah kepada aset tersebut terletak pada pemegang gadai janji (pemberi pinjaman), di mana penggadai janji (penerima pinjaman) mempunyai hak secara ekuiti sahaja untuk menebus semula aset tersebut daripada pemegang gadai janji (pemberi pinjaman) selepas pembayaran jumlah pinjaman kepada pemegang gadai janji (pemberi pinjaman).

6. Mahkamah Agong Malaysia pada tahun 1997 dalam kes Kimlin Housing Development Sdn. Bhd. lwn Bank Bumiputra (M) Berhad telah mengesahkan perbezaan antara gadaian dan cagaran. Gadaian di Malaysia hanya menjadi sekuriti kepada sesuatu pinjaman berbanding cagaran di England yang mengambil terus pemilikan hartanah tersebut. Mahkamah merujuk kepada penulisan Dass di mana beliau telah menyatakan bahawa:

7. Dalam konsep cagaran Inggeris di mana pindahmilik telah dilakukan ke atas nama pemegang gadaian, hak menebus semula terletak kepada penggadai janji sehingga aset tersebut dilelong atau dijual sehingga mutlak oleh pemegang gadai janji.

8. Di bawah sistem Torrens, tiada langsung pindahmilik hartanah di bawah konsep gadaian. Dalam kata lain, di bawah konsep cagaran Inggeris, hak dan kuasa pemegang cagaran adalah berkait rapat dengan hak secara undang-undang atau ekuiti yang diletakkan kepadanya sebagai seorang pemegang cagaran. Manakala di bawah konsep gadaian dalam KTN, hak dan kuasa pemegang gadaian adalah bukan aset tersebut sendiri memandangkan tiada pindah milik yang dianugerahkan kepadanya sebaliknya kuasa pemegang gadaian mestilah dirujuk semula dalam KTN iaitu gadaian adalah dijadikan seperti satu perlindungan kepentingan sahaja dan akan dilaksanakan hanya melalui prosiding mahkamah iaitu perintah jualan.

Ahmad Termizi Abdullah
Presiden K-Literasi

* Tulisan di atas berdasarkan petikan dari buku Ikbal Salam dan Sadali Rasban, Hibah Kontingensi & Bersyarat di Malaysia dan Singapura: Hibah Al-‘Umra dan Hibah Al-Ruqba, Ikbal Salam & Associates, Johor Bahru, Johor, 2021, hlm. 61-64.

14/08/2021

HIBAH HARTANAH DALAM GADAIAN: SIAPA YANG MEMBAYAR BAKI PINJAMAN

1. Terdapat pihak yang mebangkitkan tentang isu siapakah yang patut membayar baki pinjaman selepas akad hibah hartanah dalam gadaian berlaku. Bagi penulis, hibah hartanah dalam gadaian boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu sama ada pemberi hibah yang meneruskan pembayaran baki pinjaman, ataupun penerima hibah yang meneruskan pembayaran baki pinjaman.

2. Sekiranya pemberi hibah yang meneruskan pembayaran baki pinjaman, itu bermaksud pembayaran tersebut adalah hibah yang berterusan dari semasa ke semasa dari pemberi hibah kepada penerima hibah. Ini adalah hibah hakiki, atas asas kasih sayang tanpa apa-apa balasan. Situasi ini boleh berlaku contohnya bagi kes suami yang menghibahkan rumah yang masih dalam tempoh pinjaman kepada isterinya.

3. Situasi hibah hartanah dalam gadaian juga boleh berlaku jika penerimah hibah p**a yang meneruskan pembayaran baki pinjaman bagi pihak pemberi hibah. Situasi ini sebenarnya lebih kepada hibah bersyarat balasan yang mana hibah dibuat oleh pemberi hibah kepada penerima hibah dengan syarat balasan bahawa penerima hibah yang membayar baki pinjaman bagi pihak pemberi hibah.

4. Para fuqaha’ berselisih pendapat tentang jenis dan bentuk akad hibah dengan syarat balasan atau gantian sebagaimana berikut:

i. Mazhab Hanafi

Menurut mazhab Hanafi kecuali Zufar, akad hibah dengan syarat gantian pada permulaannya dianggap sebagai akad hibah dan akhirnya dianggap sebagai akad jual beli. Hukum-hukum hibah dilaksanakan sebelum berlaku penyerahan dan penerimaan ataupun qabd seperti tidak harus pemberian hibah barang yang musyak, disyaratkan qabd dan diharuskan penarikan balik hibah pada kedua-dua barang yang belum diqabd. Manakala selepas berlaku penerimaan daripada kedua-dua belah pihak iaitu saling menerima pemberi dan penerima, akad tersebut dikira sebagai akad jual beli dan terlaksana hukum jual beli ke atasnya.

Asas pegangan golongan ini ialah terdapat dalam akad tersebut lafaz hibah dan makna jual beli. Oleh sebab itu, ia dikira seolah-olah telah berlaku dua akad iaitu akad hibah di permulaan dan akad jual beli di penghujungnya. Golongan ini mensyaratkan, gantian tersebut dinyatakan oleh penerima sebagai balasan sehingga diketahui oleh pemberi hibah bahawa pemberian hibahnya telah dibalas. Apabila barang gantian atau balasan tersebut telah diterima dan diqabd oleh pemberi hibah maka pemberi hibah tidak boleh menarik balik hibahnya. Namun jika barang yang menjadi balasan atau gantian tidak dinyatakan sebagai pembalasan kepada hibah dan diberikan, maka pemberian tersebut dianggap sebagai hibah kedua yang mana kedua-dua pihak berhak menarik balik hibah masing-masing.

ii. Mazhab Maliki

Akad hibah dengan syarat gantian dianggap sebagai akad jual beli oleh mazhab Maliki dan ia sama ada dinyatakan atau tidak jenis balasan atau barang gantian yang disyaratkan. Sahnun meriwayatkan bahawa Imam Malik telah berkata:

“Akad hibah dengan syarat gantian atau balasan merupakan akad jual beli.”

Apabila kedua-dua pihak telah bersetuju dengan syarat yang dinyatakan maka menjadi tanggungjawab penerima hibah menunaikan balasan sebagaimana yang disyaratkan oleh pemberi hibah. Hibah berkuatkuasa sama ada harta telah diqabd ataupun tidak sekiranya bentuk pembalasan atau gantian telah ditentukan dan diketahui dalam syarat hibah dan dipersetujui bersama antara keduanya. Namun jika sebaliknya, akad tersebut tidak berkuat kuasa sehingga berlaku qabd.

iii. Mazhab Syafi’e, Hanbali dan Zufar

Mereka berpendapat sah akad hibah dengan syarat gantian atau balasan namun hukumnya adalah hukum akad jual beli dari permulaan sehingga penghujungnya dengan syarat dinyatakan secara jelas bentuk balasan atau gantian yang disyaratkan oleh pemberi hibah. Sebagai contoh:

“Saya hibahkan kepada kamu baju ini dan kamu hendaklah membalasnya dengan baju kamu itu.”

Akad tersebut sah kerana diketahui balasan yang disyaratkan oleh pemberi hibah namun ia tidak dikira sebagai akad hibah tetapi sebagai akad jual beli. Hukum-hukum jual beli terlaksana ke atasnya antaranya seperti hak syuf’ah, khiyar dan ganti rugi. Namun begitu, akad terbatal sekiranya syarat balasan tersebut tidak ditentukan atau tidak diketahui, kerana dengan adanya syarat balasan telah menyebabkan akad hibah tidak sah dan dengan tidak ditentukan balasan yang disyaratkan telah membatalkan akad jual beli.

5. Maka boleh dihujahkan bahawa hibah hartanah dalam gadaian dalam bentuk ini adalah sah kerana hakikatnya ia adalah akad jual beli secara tersirat. Hal ini mungkin boleh berlaku kerana kepayahan atau kesukaran bagi pembeli mendapatkan kemudahan kewangan, lalu akad hibah bersyarat pembayaran hutang bagi pihak pemberi hibah dibuat bagi meneruskan niat pihak-pihak yang terlibat.

6. Sekiranya hal ini dipromosikan, mungkin akan tular selepas ini istilah ‘hibah sambung bayar’.

AHMAD TERMIZI ABDULLAH
PRESIDEN
K-Literasi

Address

29-2 Jalan 3/4C, Desa Melawati
Kuala Lumpur
53100

Website

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when K-Literasi posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Contact The Practice

Send a message to K-Literasi:

Share

Category