19/07/2022
PENAHAHAN SITI NURAMIRA OLEH JAWI BUKAN “DOUBLE JEOPARDY”
Dalam undang-undang, seseorang tidak boleh dituduh atas kesalahan sama yang mana dia telah dibebaskan atau menjalani hukuman setelah sabitan.
Prinsip ini dikenali sebagai “protection against double jeopardy”. Sememangnya tidak adil sekiranya seseorang yang disabit membunuh, menjalani hukuman dan kemudiannya dituduh sekali lagi atas kesalahan yang sama. Begitu juga kalau dia telah dibebaskan setelah dituduh kali pertama.
Prinsip ini termaktub dalam Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi begini:-
“A person who has been acquitted or convicted of an offence shall not be tried again for the same offence except where the conviction or acquittal has been quashed and a retrial ordered by a court superior to that by which he was acquitted or convicted”.
Kata kunci disini ialah “HAS BEEN ACQUITTED OR CONVICTED” dan “SAME OFFENCE”. Ia bermaksud prinsip “double jeopardy” akan terpakai sekiranya:-
1. Seseorang itu TELAH dibebaskan atau disabitkan kesalahan kali pertama, yakni telah menjalani proses perbicaraan Mahkamah dan Hakim telah membuat keputusan;
2. Dia dituduh semula atas KESALAHAN YANG SAMA.
“Kesalahan yang sama” telah didefinisikan dalam kes Jamali Bin Adnan lwn PP (1985) 2 CLJ 425 dimana Hakim Mahkamah Persekutuan, George Seah menyatakan:-
“The phrase “same offence” is used in Article 7(2) of the Federal Constitution, in s. 59 of the Interpretation Act 1967 and in s. 302(i) of the CPC. In R v Kupferberg (1918) 13 Cr AR 166 at p. 168, A.T. Lawrence J said that:
The offence of which the accused has been acquitted and that with which he is charged must be the same in the sense that each must have the same ESSENTIAL INGREDIENTS…”
————————
Nur Amira dituduh dibawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan. Seksyen tersebut antara lain mengandungi, secara ringkasan, “ingredients” berikut:-
1. Perkataan, lisan, bertulis, isyarat, pernyataan zahir, perbuatan, aktiviti atau kelakuan;
2. Menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat ATAU memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan
3. Diatas alasan-alasan AGAMA
Dia dilepaskan dari tahanan setelah membayar ikat jamin.
Dia kemudiannya ditahan oleh JAWI atas siasatan dibawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1977. Seksyen tersebut mengandungi, secara ringkasan, “ingredients” berikut:-
1. Secara lisan, bertulis, gambaran atau cara lain;
2. Menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina;
Perhatikan Seksyen 298A KK mengandungi elemen “menyebabkan ketidakharmonian” yang tiada dalam Seksyen 7 AKJSWP. Perhatikan juga Seksyen 298A menyebut “atas alasan agama” sedangkan Seksyen 7 menyebut terus “agama Islam”.
Tambahan p**a, bidangkuasa undang-undang sivil adalah berbeza dengan bidangkuasa undang-undang syariah.
Oleh yang demikian, saya berpandangan bahawa:-
1. Memandangkan kes jenayah masih dalam peringkat pertuduhan dan belum berlaku perbicaraan dan hukuman, ia bermaksud masih belum “been acquitted or convicted”.
2. Memandangkan “ingredients” kes Seksyen 298A KK dan Seksyen 7 AJKSWP agak berbeza, ia tidak boleh dikatakan “same offence”, walaupun faktanya mungkin sama.
3. Penahanan atau pertuduhan selepas ini oleh JAWI bukan “double jeopardy”.
Wallahu’alam
YUSFARIZAL YUSSOFF