30/04/2026
PEGAWAI RISDA DILEPAS DAN DIBEBASKAN DARIPADA ENAM PERTUDUHAN RASUAH
KOTA KINABALU, 30 April 2026 — Mahkamah Sesyen Khas Rasuah hari ini melepas dan membebaskan Pegawai Pertanian RISDA Zainal bin Aliasan, daripada kesemua enam pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Jason Juga pada peringkat akhir kes pendakwaan, tanpa memanggil tertuduh untuk membela diri.
Menurut alasan ringkas penghakiman, mahkamah mendapati elemen pertama pertuduhan, iaitu bahawa tertuduh merupakan seorang penjawat awam, adalah tidak dipertikaikan. Bagaimanapun, mahkamah mendapati wujud keraguan terhadap elemen kedua, ketiga dan keempat pertuduhan, khususnya sama ada tertuduh memperoleh wang berkenaan untuk dirinya, sama ada wang itu diterima tanpa balasan atau balasan yang tidak mencukupi, dan sama ada pemberi wang mempunyai hubungan rasmi dengan fungsi tertuduh.
Perbicaraan kes tersebut bermula pada 26 Februari 2024 dengan pihak pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa Dzulkarnain Rousan Hasbi memanggil seramai 16 orang saksi.
Terdahulu, Zainal dilaporkan didakwa pada September 2022 atas enam pertuduhan menerima suapan berjumlah RM22,300 ketika bertugas di Pejabat RISDA Daerah Keningau. Pertuduhan-pertuduhan itu dikatakan berkaitan dakwaan menerima wang bagi mempercepatkan urusan tuntutan pembayaran sebuah syarikat antara Mei hingga Julai 2020.
Mengikut laporan terdahulu, Zainal mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat dan pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Peguam bela tertuduh, Azhier Farhan Arisin, dalam hujahannya membangkitkan bahawa wang yang dipertikaikan tidak dimasukkan ke akaun peribadi tertuduh, sebaliknya ke dalam akaun pihak ketiga. Pihak pembelaan juga berhujah bahawa saksi-saksi pendakwaan sendiri memberi keterangan bahawa wang tersebut adalah bayaran sah bagi kerja-kerja subkontrak kepada pihak ketiga dan bukannya wang yang diperoleh oleh tertuduh untuk dirinya.
Pihak pembelaan turut menegaskan bahawa terdapat percanggahan material dalam kes pendakwaan, termasuk mengenai tujuan sebenar pembayaran tersebut, sama ada untuk mempercepatkan tuntutan bayaran, mendapatkan projek masa hadapan, atau akibat dakwaan ugutan kelewatan pembayaran.
Menurut pembelaan, percanggahan tersebut menyebabkan mahkamah tidak mempunyai asas yang selamat untuk memanggil tertuduh membela diri.
Susulan keputusan itu, wang jaminan tertuduh turut diperintahkan untuk dikembalikan.