29/01/2026
Min copy dari posting Ustaz Huzaifah Hadis:
__
Bagi ibu-ibu yang berijazah, berpendidikan tinggi menjadi suri rumah sepenuh masa membesarkan anak-anak, janganlah merasa rendah diri. Apatah lagi merasakan pendidikan tinggi yang ada hanyalah sia-sia.
Hakikat sebenarnya, anda bukan sekadar membina aset generasi masa depan, bahkan anda ialah golongan terpilih membina, mendidik dan membimbing aset generasi negara bahkan umat.
Sekalipun anda kemungkinan kurang wang dan aset fizikal, tetapi yakinlah aset terbesar bagi negara bukanlah saham, hartanah, syarikat dll. Aset terbesar negara ialah manusia.
Tanpa manusia, longgokan emas dan perak, jutaan saham, hartanah yang mahal di lokasi strategik tiada nilainya.
Siapakah yang membinanya sekarang?
Siapa lagi kalau bukan anda.
Para pemikir ulung, para imam besar, tokoh ulung terlahir daripada tangan seorang ibu.
Guru yang betul sekadar mencungkil bakat yang telah terbina didalam dirinya.
Jadi, janganlah sia-siakan aset berharga tersebut, apatah lagi merasa rendah diri dengan rakan-rakan yang lain.
Apa yang anda sedang bina pada hari ini, mungkin menentukan wajah dan negara di masa akan datang.