21/02/2024
"Pak, kalau di Indonesia ini memang bisa yang kahwin yang beza agama. Islam dengan agama lain?", tanya saya pada pemandu waktu kami pusing-pusing di kota Bandung.
"Oh, itu nikah siri. Iya, kak. Ada banyak juga di Indonesia ini".
"Kalau nikah siri begini. Anak-anak ini didaftarkan bagaimana? Boleh tidak didaftarkan nama ibu dan bapanya? Bagaimana agama mereka?", banyak saya hendak tahu kerana di Malaysia isu-isu agama begini sangat sensitif. Sehingga turun naik ke mahkamah dan mendapat perhatian masyarakat. Perjuangan kita untuk menjaga agama.
Pak Supir terangkan lagi, "Kalau di Indonesia ini, bisa begitu. Anak-anak itu nanti boleh memilih agama sama ada mengikut ibunya atau bapaknya. Terp**ang".
Yang pop**ar dulu di Indonesia, artis veteran Jamal Mirdad beragama Islam berkahwin dengan Lydia Kando, beragama Kristian. Mereka telah bercerai setelah 27 tahun berkahwin. Anak-anak mereka berbeza agama, ada beragama Islam dan ada beragama Kristian.
Begitu jugalah praktisnya di India, Shah Rukh Khan, beragama Islam dan isterinya Gauri, beragama Hindhu. Ada beberapa gambar yang SRK sendiri ke kuil. Bebas. Ada beberapa negara yang umat Islam mengamalkan begini.
Sangat berbeza dengan amalan di Malaysia, yang sangat sensitif bab-bab begini. Sangat. Bab akidah dan hukum, jangan sekali dibuat main.
Saya cuba faham mana kurangnya di negara lain? Adakah bermula dari normalisasi? Undang-undang? Peranan negara atau penguatkuasa melaksanakan undang-undang?
Benar sebagai umat Islam, kita sendiri yang perlu kuat iman. Amar Maaruf Nahi Mungkar. Pun begitu, pada saya undang-undang itu adalah faktor utama untuk mengawal. Lumrahnya manusia itu, jika diberi muka, dia ikut s**a.
Sebab itu sejak zaman Rasulullah lagi, ada hukum hudud, ada ta'zir, ada sistem keadilan. Cukup serba-serbi, untuk melaksanakan hukum dan untuk mengawal perbuatan curi, zina, rompak dll. Untuk mengawal manusia itu.
Kalau pun saya selalu memuji betapa Indonesia itu, menjaga bahasa, adat dan budayanya tetapi bila bab agama dan praktis Islam, sudah tentu Malaysia perlaksanaan undang-undang Islam jauh lebih tegas.
Mungkin juga karya-karya TV atau penulisan atau-buku kita yang berbentuk islamik, tidak sebanyak seperti di Indonesia tetapi pada saya perlaksanaan undang-undang Islam dan amalan di Malaysia lebih ketat.
Di Acheh memang berbeza, walaupun Acheh itu adalah sebahagian Indonesia tetapi mereka berbeza. Malahan, ada segelintir Acheh tidak mengakui mereka sebahagian Indonesia. Boleh baca tentang GAM. Di Acheh praktis dan perlaksanaan Islam sangat ketat dan tegas.
Di Malaysia juga selalu menitik beratkan tentang agama Islam. Sehinggakan, Malaysia negara pertama yang mengeluarkan standard sijil halal yang komprehensif selaras dengan keperluan ISO, ini seperti titaj Sultan Selangor dalam Mesyuarat Hal Ehwal Agama Islam ke-70.
Bermakna, kedai makan atau perniagaan yang mempunyai sijil halal Malaysia itu, tidak syak lagi, diyakini halal. Berbeza waktu saya ke Hong Kong dulu, kedai ada sijil halal dari HK bebas menjual arak. Standard sijil halal kita memang diyakini oleh negara Islam lain di dunia.
"Tapi kan pak, iyalah penduduk Indonesia hampir 280 juta. Ramai. Faham pak. Perlaksanaanya juga perlu kuatkan pak? Kalau di Malaysia itu, orangnya tidak ramai. Masih boleh dikawal.....Jadi, di Malaysia tegas. Jangan dibuat main pak, kalau di bulan Ramadhan, kalau tidak puasa di angkut naik van jenazah. Baru insof", saya senyum, bercerita tentang negara kita yang sentiasa menjadi kebanggaan saya.
Tetapi realitinya saya tahu dan kita tahu bahawa kian lama, perlaksanaan undang-undang syarie di Malaysia itu, entahlah kadang-kadang saya tidak nampak efisyen.
Terbaru p**a kes Nik Elin, tentang beberapa undang-undang jenayah syarie di Kelantan yang dimansuhkan. Bab ini, memang saya tidak setuju. Tetapi bab ini perlu faham dengan teliti. Jika ada kesempatan saya mungkin tulis dalam tulisan lain. Panjang..........
Saya fokus dulu pada isu perlaksanaan. Kita lihat pada undang-undang syarie yang sedia ada dan yang boleh dilaksanakan. Laksanakan atau tidak? Atau lebih kepada wujud tetapi kadang-kadang atau jarang-jarang dipakai?
Kadang-kadang teringin juga hendak lihat, bila Pejabat Agama yang paling laju bertindak. Contoh bila ada isu hina agama, hina nabi.
Tetapi selalunya bila netizen dah mula bising-bising. Polis yang bertindak dan dakwaan di mahkamah jenayah. Tiada kenyataan oleh pejabat agama atau penguatkuasa agama. Sehingga sekarang, orang Islam sendiri sudah berani menghina Islam dan Nabi melalui kandungan di media sosial.
Malahan isu Hot Daddy juga, saya tunggu tindakan, kenyataan dari pejabat agama atau penguatkuasaan agama tetapi masih tiada. Sekali lagi, polis buat kerja dan dakwaan di mahkamah jenayah.
Kemudian kerana isu Hot Daddy itu, jadi hambar lepas dakwaan mahkamah. Tidak diambil tindakan serius oleh pihak berwajib agama. Dia dijulang-julang kembali oleh pengikut yang mempunyai minat yang sama.
Isu Sajat juga bertahun lamanya. Lamaaaa. Kalau siapa yang ikuti siri provokasi Sajat dengan pelbagai isu tetapi hujung-hujungnya sahaja mula ambil tindakan.
Bila bab agama ini, selalu yang memberikan pandangan dan komen itu adalah asatizah, m***i dan agamawan. Pernah saya menulis tentang kes lelaki beli nombor ekor dan dipenjarakan sehari, ada yang komen baru tahu, beli nombor ekor boleh dipenjara.
Kadang-kadang seronok membayangkan kalau perlaksanaan itu kuat seperti LHDN atau KWSP sehinggakan jika dimuatnaik kesalahan di media sosial, ada komen "Pejabat Agama is watching you..." seperti mana apabila pempengaruh mempamerkan kekayaan dan diperli oleh netizen tentang cukai pendapatan.
Yang nyata memang kita tahu LHDN itu keras dan kita tahu mereka akan mengambil tindakan.
Usaha untuk memperjuangkan memperkasa undang-undang Islam ini sudah bertahun-tahun lamanya. Antara kes yang saya belajar adalah Natrah Hertogh. Perjuangan demi perjuangan tetapi kalau tidak diteruskan, lama kelamaan bakal jadi hambar juga.
Berkesannya undang-undang itu, bukan hanya sekadar wujud. Melaksanakannya juga perlu. Saya menulis topik ini, bukan untuk ada yang menjadikan isu politik.
Saya menulis apa yang saya lihat kesan jangka panjang, kalau berterusan begini. Kita bersedih tentang isu Nik Elin tetapi memperkasakan undang-undang Islam bukan hanya pada pindaan undang-undang tetapi pada perlaksanaan, kuasa, fungsi.
Jadi tak kisahlah ada yang melabel walaun atau walanun, buang seketika label-label ini. Tak habis-habis kehidupan pasal politik. Bangun politik, makan politik, tidur politik. Letih.
Pertama sekali, kau perlu tahu kau itu Islam. Itu diri kau. Yang kau label itu saudara sesama agama.
Kalau kau mati sekali pun, soalan yang ditanyakan adalah apa agamamu, bukan apa parti politik mu?
Kalau tidak dijaga, diperkasakan. Entah bagaimana nanti bila semua sudah jadi normalisasi?
Oleh Nor Zabetha