25/12/2025
Peguam syarie ulas isu siapa patut tanggung nafkah kalau pasangan ke penjara.
KALAU SUAMI MASUK PENJARA SIAPA NAK TANGGUNG NAFKAH ANAK INI? KELUARGA MERTUA JUGA BUAT TAK RETI! ..
Ujar Puan Nur dalam hantaran Mingguan Wanita ini.
Kalau suami masuk penjara atau hilang keupayaan dalam nak menyediakan nafkah anak, kepada siapa saya boleh tuntut hak anak ini?
Isu Nafkah anak ini merupakan isu anak yang tidak pernah selesai kalau suami hilang kelayakan dan upaya dalam memperuntukkan nafkah di Mahkamah Syariah di Malaysia macam mana ye kalau jadi isu macam ni? Apa tindakan Mahkamah Syariah?
Kejap… kena buat Tuntutan di Mahkamah Syariah dulu puan.
Memang susah nak selesai ye?
Tenang dulu Tuan-tuan dan puan-puan dalam Mahkamah Syariah bilamana suatu pihak datang dan menuntut hak maka pihak yang menuntut dan dituntut akan mendapat hak mereka masing-masing.
Apabila kita berbicara soal nafkah, isteri mahupun bekas isteri sering menjadi pihak yang tertindas akibat daripada sikap suami atau bekas suami itu sendiri, yang mana telah culas dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah digariskan Al-Quran dan As-Sunnah, serta perbahasan-perbahasan Ulama Kontemporari di dalam kitab mereka.
Namun begitu bertitik tolak suatu persoalan bagaimana jika suami atau bekas suami tersebut telah mati, atau bapa tersebut menghilang, atau bapa tersebut dikatakan menurut syarak tidak berupaya dalam menjalankan tanggungjawab nafkah beliau? Kepada siapakah beban tanggungan nafkah ini akan berpindah?
Untuk pengetahuan sidang pembaca yang dirahmati Allah. Berdasarkan pembacaan dan pengkajian saya, beban tanggungjawab nafkah ini boleh berpindah kepada waris bapa tidak kisah dari tingkat waris pertama iaitu usul (tingkat keluarga keatas: datuk,nenek dan moyang) tingkat yang kedua waris Furu’ (tingkat jalur kebawah: anak, cucu, cicit dan lain-lain) mahupun peringkat yang ketiga iaitu Hawasyi (tingkat jalur sebelah melintang: saudara-saudara lelaki dan perempuan sebelah ibu dan bapa @ bapa dan ibu saudara). Perkara ini dibenarkan syara’ berdasarkan perbahasan ulama’ Mazhab Syafie dan Hanbali iaitu Al-Syirbini, Al-Zuhaili dan Al-Buhuti.
Dimana mereka membahaskan bahawa sekiranya suami atau bapa itu tidak mampu dengan alasan yang dibenarkan syarak seperti: miskin, sakit berpanjangan yang tiada kesembuhan, umur yang tua yang menyebabkan tiada kudrat dan tidak terdaya serta hilang yang tidak dapat dikesan. Dengan sebab yang demikian, sebahagian fuqaha menyatakan bahawa nafkah anak boleh berpindah kepada waris-waris yang lain seperti isteri, datuk dan saudara sebelah bapa mahupun ibu. Namun begitu, pindahan beban ini hanya bersifat hutang yang sementara sekiranya bapa telah kembali sihat beliau perlu membayar ia semula.
Lanjutan daripada itu, ulama Mazhab Hanafi dan Mazhab Shafie berbeza pandangan dalam hal perpindahan beban ahli waris ini. Bagi Mazhab Hanafi, misalnya melalui pendapat Al-Kasani menyatakan bahawa nafkah anak itu hanya perlu ditanggung oleh saudara mahram anak tersebut. Iaitu datuk, jika mempunyai harta yang melimpah ruah yang membolehkan beliau menanggung cucunya ataupun isteri, sekiranya beliau masih mempunyai kudrat untuk mencari nafkah bagi menanggung anaknya. Namun begitu, sekiranya waris mahram itu tiada kemampuan dan hanya mampu berkongsi dalam membiayai anak tersebut, maka terdapat kadar yang boleh mereka kongsi. Kadar ini lebih dibebankan kepada waris mahram sebelah bapa berbanding ibu.
Daripada perspektif yang berbeza, beban nafkah anak ini juga boleh berpindah kepada waris peringkat Hawasyi. Sepertimana yang telah saya nyatakan di atas sebentar tadi, menurut Al-Buhuti ulama Mazhab Hanafi telah menyatakan bahawa perpindahan beban nafkah anak kepada saudara-saudara lelaki dan perempuan sebelah ibu dan bapa ini adalah berdasarkan hak mereka dalam perwarisan harta faraid.
Jika dilihat daripada perbahasan ulama Mazhab Shafie iaitu Al-Syirbini beliau menyatakan beban nafkah ini akan berpindah kepada usul dahulu. Sekiranya tiada usul maka ia akan berpindah kepada furu’. Bahkan Al-Zuhaili juga telah menqiyaskan perpindahan beban nafkah terhadap ahli waris ini kepada kaedah pengagihan pusaka.
Kedua-dua pendapat Al-Zuhaili serta Al-Buhuti tersebut menunjukkan keutamaan ahli waris dalam menerima bahagian faraid membolehkan mereka menjadi pihak yang memikul beban tanggungjawab nafkah. Ini selari dengan kaedah fiqh (الغرم بالغنم والغنم بالغرام) yang bermaksud keuntungan mesti selari dengan kerugian dan kerugian selari dengan keuntungan.
Justifikasinya, perkara yang sama telah diisyaratkan di dalam Seksyen 72 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor yang mana telah menyatakan secara jelas mengenai perihal ini. Seksyen ini dengan jelas menyatakan bahawa nafkah menjadi tanggungan seseorang yang berkewajipan di bawah hukum syara’ sekiranya bapa atau suami itu hilang kelayakan berdasarkan alasan yang dibenarkan oleh Hukum Syara’.
Disini secara jelas boleh ditafsirkan bahawa sekiranya ibu kepada anak tersebut ingin memohon nafkah anak kepada ahli waris yang layak menerima bahagian faraid berdasarkan syara’, maka ibu tersebut boleh mengemukakan tuntutan ini di Mahkamah Syariah. Ibu tersebut boleh mengemukakan bukti yang berkaitan bagi menyokong tuntutan beliau tersebut.
Namun begitu macam mana p**a bagi kes sekiranya bapa masuk penjara dan keluarga juga tidak mampu nak tanggung nafkah anak ni? Setelah dibuktikan bahawa keluarga juga tidak mampu, ibu juga boleh menamakan pihak Baitulmal Negeri masing-masing dalam tuntutan nafkah anak bagi mengambil alih kewajipan memperuntukkan nafkah dari bapa anak tersebut kepada mereka melalui perintah mahkamah.
Secara tuntasnya, telah ada rekod tuntutan sebegini yang telah dikemukakan di Mahkamah Syariah. Namun, persoalan berkaitan prosiding dan perundangan lebih baik dibantu oleh Peguam Syarie bagi kes yang rumit sebegini. Islam itu agama yang mengangkat hak dan martabat sesama insan, dimana hikmah yang dinatijahkan dalam pensyariatan hak waris lelaki yang lebih bahagiannya di dalam hukum faraid itu sendiri adalah bagi membolehkan mereka menanggung nafkah ahli waris yang lain.
-Peguam Syarie / Panel Hakam-
Muhammad Amirul Akmal Ismail
Amirul Akmal & Associates
Justice Must Be Seen To Be Done!.