03/04/2020
Artikel Undang-
Undang Bun & Associates 1/2020
Apakah MCO?
-MCO adalah ringkasan daripada Movement Control Order atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan berkuat kuasa dari 18 hingga 31 Mac 2020.
-Kemudiannya MCO dilanjutkan lagi selama 14 hari bermula 1 hingga 14 April 2020.
Apakah Undang-undang yang diguna pakai?
-MCO dikuatkuasakan bersandarkan kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.
-Selain itu, Menteri (Kesihatan) diberikan kuasa untuk membuat perundangan subsidiari. Setakat ini, terdapat 2 perundangan subsidiari berkuat kuasa iaitu Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(No.1) 2020 bagi tempoh 18-31 Mac dan PPPPB (LDKTJ) (No. 2) bagi tempoh 1-14 April 2020.
Di samping akta-akta di atas, apakah undang-undang lain terpakai?
-Agensi penguatkuasaan undang-undang boleh melaksanakan tugas seperti mana yang diberikan kepada mereka mengikut ruang lingkup undang-undang, termasuklah mengguna pakai Kanun Keseksaan, Kanun Tatacara Jenayah, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan lain-lain akta.
Apakah arahan-arahan yang dibuat berkenaan MCO?
-Terdapat 6 arahan yang terkandung dalam Perintah Kawalan Pergerakan ini iaitu:
i. Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya;
ii. Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara;
iii. Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara;
iv. Penutupan semua Taska, Sekolah Kerajaan dan swasta dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti;
v. Penutupan semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swata serta Institut Latihan Kemahiran di seluruh negara; dan
vi. Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (essential services).
Difahamkan bahawa hanya seorang sahaja dibenarkan keluar dari rumah untuk membeli barangan keperluan. Jika lebih daripada seorang, adakah polis boleh menahan saya dan ahli keluarga?
-Pergi ke satu tempat dengan cepat dan ringkas adalah dibenarkan di bawah MCO. Walau bagaimanapun, polis/kerajaan mempunyai kuasa untuk menghadkan pergerakan mana-mana orang untuk keluar dari rumah.
-Kelonggaran boleh diberikan untuk kes-kes tertentu seperti menziarahi kematian ahli keluarga terdekat, perjalanan ke hospital/klinik untuk mendapatkan rawatan perubatan dan lain-lain alasan yang munasabah.
-Terdapat juga orang-orang tertentu diberikan kebenaran untuk melakukan pekerjaan sepanjang tempoh MCO ini seperti mana ditetapkan dalam Jadual PPPPB (LDKTJ).
-Perlu difahami bahawa MCO bukanlah bersifat seperti mana perintah darurat yang melarang sama sekali pergerakan.
Dalam fasa kedua MCO (1-14 April), adakah langkah penguatkuasaan diperketatkan?
-Berdasarkan Peraturan 4(1) PPPPB (LDKTJ) (No. 2) 2020, terdapat penetapan bahawa sekiranya seseorang itu perlu melakukan pergerakan (keluar dari rumah) untuk tujuan seperti membeli barang keperluan makanan, pergerakan hanya dihadkan kepada radius 10 kilometer dari rumah/tempat kediamannya.
Bagaimanakah pihak berkuasa tahu bahawa kediaman seseorang itu berada dalam radius 10 kilometer?
-Pihak berkuasa boleh meminta maklumat berkaitan semasa melakukan sekatan jalan raya. Maklumat boleh diperoleh menerusi alamat seperti tertera dalam kad pengenalan ataupun mengkehendaki individu terbabit mengemukakan dokumen sokongan seperti bil elektrik, air dan lain-lain yang berkaitan.
Apakah kesan sekiranya seseorang itu melanggari perintah MCO dan undang-undang lain?
-Berdasarkan Peraturan 11 PPPPB (LDKTJ) (No. 2) 2020, mereka yang disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga 6 bulan atau kedua-duanya.
-Bagi undang-undang lain, hukuman adalah berdasarkan peruntukan seksyen berkaitan. Sebagai contoh Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang tugas penjawat awam, jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.
Selain PPPPB, bolehkah seseorang itu ditahan dan/atau dipertuduhkan di bawah kesalahan lain?
-Walaupun sekatan jalan yang dijalankan bertujuan menghalang pergerakan mengikut MCO, namun, polis atau agensi penguatkuasaan boleh menggunakan sebarang peruntukan/undang-undang seperti Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Kanun Keseksaan (Penal Code).
Apakah trend hukuman berkaitan MCO yang dijatuhkan mahkamah pada masa kini?
-Berdasarkan laporan media, kebanyakan pesalah MCO (berkaitan pelanggaran PPPPB (LDKTJ) dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara antara 2 hingga 3 bulan.
-Namun, terdapat juga Majistret yang mempertimbangkan faktor-faktor mitigasi (rayuan) seperti pesalah muda, kesalahan buat kali pertama dan lain-lain. Setelah dipertimbangkan faktor mitigasi, mereka dijatuhi hukuman bon berkelakuan baik atau perlu melakukan khidmat sosial dalam tempoh yang ditetapkan.
Sekiranya berlaku kematian di rumah (bukan pesakit Covid-19), adakah kita boleh mengadakan upacara sembahyang?
-Boleh diuruskan dengan waris terdekat sahaja. Tertakluk kepada persetujuan Ketua Polis Daerah. Pengumpulan orang bagi satu-satu masa hendaklah tidak lebih daripada 20 orang. Namun, Ketua Polis Daerah diberikan kuasa untuk menentukan jumlah orang yang munasabah.
Anak saya ditahan kerana lepak di luar rumah bersama rakan-rakannya, dia kemudian dibawa ke Balai Polis. Apakah proses seterusnya yang akan berlaku?
-Tangkapan yang dibuat polis adalah mengikut peruntukan dalam s.15 dan s.23 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).
-Seseorang itu tidak boleh ditahan melebihi 24 jam. Sekiranya polis perlu menahan lebih 24 jam, maka polis perlu mendapatkan perintah tahanan reman daripada Majistret.
-Selepas itu, orang yang ditahan terbabit akan dipertuduh di mahkamah bagi kesalahan yang berkenaan.
Bolehkah saya mendapat khidmat peguambela sekiranya saya atau ahli keluarga saya ditahan kerana melanggari MCO atau undang-undang lain?
-Boleh kerana ia merupakan hak yang dijamin oleh Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan.
-Seksyen 28A(4) KTJ juga membenarkan orang yang ditangkap itu meminta untuk dirunding dengan pengamal undang-undang, malah peguambela juga boleh hadir untuk berjumpa dengan orang yang ditangkap di tempat yang ditahan dan menjalankan rundingan.