29/06/2021
TANAH MILIK PERSENDIRIAN DICEROBOH. APA YANG TUAN TANAH BOLEH LAKUKAN?
Sekiranya tanah milik anda dicerobohi oleh seseorang atau oleh mana-mana pihak tanpa pengetahuan dan kebenaran anda, maka apa yang anda boleh lakukan adalah seperti berikut:
1. Kenalpasti siapakah individu atau pihak yang menceroboh tanah anda tersebut. Mungkin anda boleh bertanyakan dengan jiran-jiran sekeliling atau ketua kampung atau mana-mana pihak yang anda rasa mengenali atau ada sebarang maklumat berkenaan dengan pihak yang menceroboh tanah anda itu.
2. Selepas anda kenalpasti pihak tersebut, anda perlu memberi NOTIS RASMI SECARA BERTULIS kepada pihak tersebut untuk mengosongkan tanah anda dalam tempoh masa yang munasabah seperti dalam masa 14 hari atau 30 hari (mengikut mana-mana yang dirasakan munasabah).
3. Notis tersebut boleh dalam bentuk surat rasmi yang disampaikan secara serahan kediri (serahan tangan) atau pos berdaftar atau boleh juga menggunakan cara lain yang difikirkan munasabah seperti mendirikan sign bord dihadapan tanah tersebut dan sebagainya.
4. Sekiranya pihak yang menceroboh itu masih berdegil untuk keluar dan menggunakan kekerasan berbentuk ugutan atau merosakkan apa-apa yang terdapat pada tanah itu dengan tujuan untuk menakutkan, mengaibkan atau menggusarkan anda , maka anda boleh buat laporan polis di bawah Seksyen 441 Kanun Keseksaan atas dakwaan melakukan pencerobohan jenayah.
5. Penceroboh tersebut boleh didakwa dan jika didapati bersalah boleh dijatuhi hukuman di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara enam bulan atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.
6. Sekiranya tiada unsur jenayah dilakukan tetapi pihak yang menceroboh tersebut masih enggan keluar, anda bolehlah melantik peguam untuk menghantar NOTIS TUNTUTAN UNDANG-UNDANG kepada nya. Peguam anda akan memberi masa yang munasabah kepadanya untuk mengosongkan tanah tersebut.
7. Sekiranya pihak tersebut masih berdegil, anda bolehlah arahkan peguam anda untuk memfailkan Saman bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk mengusir pihak tersebut keluar daripada tanah anda. Dan peguam akan serahkan perintah mahkamah tersebut kepadanya untuk dia keluar daripada tanah anda dengan segera.
8. Sekiranya masih berdegil peguam boleh memfailkan perintah komital terhadapnya atas alasan menghina mahkamah dan pihak tersebut boleh di tangkap.
9. Dengan perintah mahkamah juga, apa-apa binaan haram yang dibuat di atas tanah tersebut boleh dirobohkan.
10. Tuan tanah juga boleh menuntut sebarang gantirugi daripada pihak yang menceroboh atas kerugian yang di alaminya akibat pencerobohan tersebut. Namun begitu kebiasaannya kerugian tersebut akan ditaksirkan oleh mahkamah.
11. Mungkin ada yang tanya tentang berapakah kos guaman untuk menghalau penceroboh tersebut. Sebenarnya kos guaman adalah bergantung kepada sejauh mana complicated nya kes tersebut serta kerja kerja, dokumen-dokumen dan prosiding perundangan yang diambil oleh peguam. Sebaiknya berbincanglah dengan pihak peguam yang anda lantik berkenaan perkara tersebut terlebih dahulu.
Moga perkongsian ini memberi manfaat untuk anda.
p/s : Tulisan ini hanyalah berkenaan prosedur perundangan secara ringkas berkenaan kes pencerobohan tanah hakmilik persendirian. Adapun pencerobohan tanah milik kerajaan, prosiding dan tindakan undang-undang yang boleh diambil mungkin berbeza bergantung kepada pihak berkuasa yang berkenaan.
Saya tidak bercadang untuk menyentuh tentang perkara tersebut dalam tulisan ini.
Terima kasih.
SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Timbalan Presiden
Pertubuhan Kebajikan dan Literasi Undang-undang Malaysia (K-LITERASI)