20/03/2022
Dalam kehidupan seharian, kita tak lari dengan peraturan-peraturan, undang-undang dan adab.
Waima dalam sekecil-kecil perkara yang kita buat, ada adab dan tertib yang kita kena ambil peduli.
Contohnya ADAB kalau ada kes di Mahkamah.
Terutamanya untuk orang awam, tak kiralah anda memakai khidmat peguam percuma atau peguam berbayar. Ada adab-adab yang kena diambil peduli.
Antaranya:
1. Hadir awal ke Mahkamah. Mahkamah mula bersidang jam 9pg selalunya, hadirlah 30 minit lebih awal, untuk mudahkan urusan court officer dan kelancaran kes.
2. Sekiranya ada diwakili peguam, maklumkan awal-awal pada peguam asbab kelewatan. Cirit birit ke, senggugut ke, patah hati ke atau kereta rosak ke. Kalau sakit dan tidak dapat hadir, lebih elok sekiranya dapat disertakan MC daripada klinik atau hospital. Kena ingat, peguam bukan ada kes anda sahaja utk dihadiri.
3. Dahulukan kes anda daripada urusan lain. Kalau boleh, berilah keutamaan pada kes mahkamah. Khuatir sekiranya bagi penama yang dibebaskan dgn ikat jamin, sekiranya gagal hadir atau gagal tunjuk sebab yang baik kerana tidak dpt hadir, mahkamah akan ramps duit jamin dan keluarkan waran tangkap.
4. Bagi individu yang jadi penjamin, harus faham tugas dan tanggungjawab memastikan kehadiran Orang Kena Tuduh. Jika tidak, rujuk perenggan 3 di atas.
5. Padamkan atau tetapkan mode telefon pada mode senyap. Khuatir akan mengacau ganggu mahkamah lebih-lebih lagi kalau kantoi anda tengah browse Tiktok video promo drama tv seksi lakonan artis sasa malaysia.
6. Jangan sesekali ambil gambar atau rekod mana-mana bahagian dalam persidangan Mahkamah. Telefon anda boleh dirampas dan boleh dikenakan tindakan.
7. Jaga adab dan kelakuan di dalam Mahkamah, baik cara bercakap, cara duduk dan cara menyapa mahkamah. Jangan tidur berdengkur dalam mahkamah. Kalau nak tidur, balik tidur di rumah.
8. Jangan menangis dalam mahkamah. Lebih-lebih lagi bila tengok ahli keluarga digari , dibawa masuk ke kandang saksi dan dibawa masuk ke dalam lokap. Ini bukan sinetron. Ini mahkamah. Kalau tak nak menangis, awal-awal lagi jangan buat kesalahan apa-apa.
9. Hormati satu sama lain. Hormati Tuan Majistret, Pendakwa Raya, Jurubahasa, Polis Mahkamah, Peguam dan orang awam yang lain.
Adab dijunjung, budaya disanjung, tak gitu?