14/02/2026
DIRECT TRANSFER VS DOUBLE TRANSFER
APAKAH BEZA "DIRECT TRANSFER DAN DOUBLE TRANSFER" DALAM URUSAN TUKAR NAMA HARTANAH?
Dalam urusan tukar nama hartanah, ramai pembeli sebenarnya tak sedar bahawa ada dua cara berbeza yang boleh berlaku, iaitu direct transfer dan double transfer.
Walaupun bunyinya teknikal, bezanya sebenarnya mudah dan bergantung kepada berapa kali nama pemilik didaftarkan di geran semasa urusan pindah milik dibuat di Pejabat Tanah.
Direct transfer berlaku apabila hartanah dipindahkan terus daripada pemaju kepada pembeli tanpa melibatkan nama penjual.
Contohnya, ali membeli sebuah unit kondominium daripada Ahmad melalui transaksi subsale tetapi pada masa jual beli dibuat, geran individu bagi unit tersebut masih belum dikeluarkan dan hak milik masih berada atas nama pemaju.
Dalam keadaan ini, apabila geran individu dikeluarkan nanti, pindah milik akan dibuat terus daripada pemaju kepada Ali tanpa nama Ahmad didaftarkan sebagai pemilik. Proses ini dikenali sebagai direct transfer.
Double transfer p**a berlaku apabila pemindahan hak milik perlu dibuat dua kali, selalunya kerana penjual belum lagi berdaftar sebagai pemilik di dalam geran. Keadaan ini sering berlaku dalam kes rumah baru daripada pemaju atau rumah subsale yang dijual sebelum nama penjual didaftarkan.
Contohnya, pemaju perlu memindahkan hak milik kepada penjual terlebih dahulu dan selepas itu barulah boleh dipindahkan p**a kepada pembeli. Oleh sebab itulah dinamakan double transfer.
Proses ini biasanya ambil masa lebih lama, melibatkan kos yang lebih tinggi kerana duti setem dan fi guaman dikenakan dua kali dan turut membawa risiko tambahan sekiranya berlaku perkara tidak dijangka seperti kematian, muflis atau sekatan ke atas penjual semasa proses dilakukan.
Daripada pengalaman mengendalikan kes-kes seperti ini, perkara paling penting yang sering kami tekankan kepada klien di Emir Mahmud & Co ialah jangan anggap semua urusan tukar nama itu sama.
Cara pindah milik bergantung sepenuhnya kepada status pemilikan hartanah pada masa SPA ditandatangani. Jika status ini tidak difahami dari awal, pembeli boleh terkejut dengan kos berganda dan tempoh yang lebih lama daripada jangkaan.
kredit Tuan Mahmud Jumaat