11/01/2024
Ke mana perginya anak-anak tuan rumah ini? Saya percaya setiap rumah pasti mempunyai kisahnya.
Namun, terdapat rumah pusaka yang terbiar atau kosong. Kadang-kadang menyentuh hati melihat rumah pusaka ditinggalkan begitu sahaja.
Mengapa ini berlaku?
✅ Terdapat waris yang tidak faham/keliru dengan proses tuntutan pusaka, sama ada di Amanah Raya Berhad, Pejabat Pusaka Kecil, atau Mahkamah Tinggi Sivil. Tidak dapat disangkal, terdapat kos pengurusan yang perlu ditanggung oleh waris. Ada waris yang berkira-kira atau tidak mampu untuk menanggung kos ini.
✅ Kekurangan sumber kewangan menyebabkan kegagalan membaiki struktur bangunan rumah pusaka, menjadikannya terbiar.
✅ Konflik keluarga yang berpanjangan tanpa penyelesaian mengenai hak milik rumah atau tanah. Menyebabkan tuntutan pusaka tidak dapat dibuat.
✅ Tunggakan bayaran cukai harta yang tinggi membuat waris enggan menanggung kos, menyebabkan rumah terbiar.
✅ Sikap s**a bertangguh dan ambil mudah di kalangan masyarakat kita menyebabkan kelewatan membuat permohonan pusaka dan boleh berlakunya isu kematian berlapis.
Apabila berlakunya kematian berlapis, struktur faraid menjadi kompleks dan akan timbul masalah pengurusan serta pembahagian harta pusaka, terutamanya jika ada waris tidak beri kerjasama.
✅ Waris mungkin mempunyai keutamaan atau gaya hidup yang berbeza, menjadikan mereka tidak berminat atau mampu untuk mengekalkan rumah pusaka.
✅ Ketidakpastian mengenai status hartanah menyebabkan rumah tidak dapat diuruskan dengan baik, terutamanya jika ada dokumen hartanah hilang dan maklumat tidak lengkap.
✅ Pemilikan bersama, khususnya yang dikongsi oleh banyak orang. Terdapat pemilik yang telah meninggal dunia, namun waris tidak menguruskan. Apabila terdapat banyak nama dalam satu geran, saiz tanah menjadi kecil dan tidak ekonomi untuk membangunkan bahagian tanah yang kecil.
✅ Kes**aran mencari pembeli atau penyewa; lokasi yang strategik memainkan peranan penting dalam penjualan atau penyewaan.
✅ Pemilik harta tidak membuat perancangan harta semasa hidup. Kurang ilmu dan pendedahan pewarisan harta Islam menyebabkan ada pemilik harta tidak ambil apa-apa tindakan.
Bagaimana mengurangkan risiko di atas? Antaranya adalah:
📍 Simpan dokumen aset dengan baik, memudahkan urusan orang lain dan InsyaAllah, urusan kita dipermudahkan.
📍 Kenali waris faraid supaya waris tahu hak faraid mereka dan memastikan bahawa setiap waris menerima bahagian yang adil dan sah mengikut syariat Islam.
📍 Adakan perbincangan keluarga secara terbuka untuk mengelak sebarang konflik dikemudian hari. Ambil kira pandangan dan keperluan setiap waris.
📍 Buat dokumen wasiat yang sah mengikut syariat Islam seperti:
i) wasiat pentadbiran iaitu melantik wasi semasa hidup untuk memudahkan tuntutan pusaka selepas kematian dan dapat memastikan pengagihan harta mengikut syarak.
ii) wasiat pesanan seperti menjaga silaturahim antara waris, menetapkan bahagian harta untuk melunaskan hutang, membayar tunggakan zakat dan sebagainya.
iii) wasiat 1/3 bagi tujuan amal jariah.
📍 Jika ada keperluan, buat dokumen hibah harta sekiranya hendak beri bahagian lebih kepada pasangan/ anak-anak. Dengan pemberian hibah semasa hidup dapat mengurangkan risiko daripada terjerumus dalam isu pewarisan.
📍 Sediakan pelan perlindungan takaful bagi melindungi harta dari risiko seperti kematian, sakit kritikal, atau cacat kekal.
Manfaat takaful yang diterima selepas kematian boleh dijadikan sebagai dana segera bagi mengatasi keperluan mendesak dan menyediakan sumber kewangan tambahan bagi waris.
📍 Hartanah diwakafkan untuk tujuan kebajikan. Sebagai contoh, tanahnya diwakafkan kepada badan berautoriti dan dibangunkan sebagai pusat pendidikan Islam, khas untuk warga emas di kawasan sekitarnya.
📍 Masyarakat Islam khususnya, perlu meningkatkan ilmu pengetahuan dan pemahaman mengenai pengurusan harta Islam untuk mengelakkan daripada harta terbeku.
📍 Semak dan kaji semula perancangan harta secara berkala, selaras dengan perubahan dalam kehidupan keluarga dan aset terkini.
📍 Mendapatkan nasihat dari penasihat kewangan/ perunding pewarisan harta islam yang bertauliah bagi penyusunan perancangan harta yang terbaik.
Mohon like, share dan komen untuk manfaat bersama